Monday, October 26, 2009

BAJET UNTUK ISTERI

RM 100 JUTA UNTUK PERMATA

Ketua AMK pusat Shamsul Iskandar Md Akin menyelar tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM 100 juta kepada isterinya Rosmah Mansor melalui program pendidikan awal kanak-kanak yang dikenali sebagai 'program permata negara'.

Menurut Shamsul peruntukan ini melampau dan tidak sepatutnya diberi kepada program yang semata-mata dinaungi oleh isteri beliau.

"Umum mengetahui projek ini adalah projek peribadi Rosmah, sepatutnya peruntukkan sebanyak itu mesti disalurkan melalui kementerian yang berkaitan," ujar Shamsul yang baru dilantik sebagai pengerusi pimpinan KEADILAN Negeri Melaka.

Bagi AMK ini adalah satu penyelewengan secara terang-terangan yang melibatkan wang rakyat dalam nilai yang cukup besar.

Jelasnya lagi, apa yang menjadi keutamaan kita ialah wang rakyat dalam bajet sesebuah negara perlu mengikut urus tadbir yang sesuai supaya ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan apabila timbul masalah dikemudian hari.

"Saya berpendapat rakyat sudah cukup tertekan dengan bajet yang dibazirkan sebanyak RM 28 bilion yang sepatutnya lebih memberi nilai yang produktif kepada rakyat untuk menghadapi krisis ekonomi kini," katanya.

Mengulas isu yang sama Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) Raimi Abd Rahim berkata peruntukkan ini agak besar bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

"Sepatutnya nilai sebegini diberikan kepada dua atau tiga NGO yang berkaitan, pembahagian kepada beberapa NGO ini akan membolehkan kita membuat perbandingan berkenaan pencapaian projek ini," katanya.

Beliau juga mempersoalkan apakah KPI yang digunakan oleh kerajaan bagi memastikan projek ini berjaya dengan cemerlang. Apa yang membimbangkan katanya dasar kerajaan yang berubah-rubah berkenaan pendidikan akan menyebabkan ia tidak mencapai objektifnya.

"Satu lagi masalah yang mungkin timbul ialah mungkin akan timbul jurang bagi anak-anak yang tidak berpeluang memasuki program berkenaan," terangnya.

Bagi Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Semenanjung, Sabri Arshad melahirkan kebimbangan kerana projek ini mungkin dilakukan tanpa kajian kukuh.

Ini kerana menurut beliau sehingga kini pihaknya yang mewakili guru-guru Melayu semenanjung masih belum diberi taklimat berhubung perancangan dan juga perjalanan program yang diuar-uarkan ke seluruh pelusuk negara.

Menurut Ketua Wanita KEADILAN Zuraidah Kamaruddin yang dihubungi Suara Keadilan turut mempertikaikan nilai yang diberi kepada Permata.

Katanya, apa yang pasti kerajaan boleh menyalurkan bajet ini kepada mana-mana agensi kerajaan yang lebih memerlukan bagi menaiktaraf kehidupan rakyat. Saya rasa peruntukkan yang diberikan untuk membangunkan kaum wanita juga sedikit. Sedangkan ia memerlukan peruntukkan yang besar.

"Jika hendak diikuti sewaktu penubuhannya juga sudah menimbulkan kekeliruan kerana Permata wujud tanpa perbincangan yang konkrit, disamping itu peruntukkan yang terdahulu juga berlaku ketirisan dan belum mendatangkan hasil," terangnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Sebelum ini sewaktu membentangkan pakej ransangan 2009 kerajaan telah memperuntukkan RM 200 juta bagi menjalankan program Permata dan pendidikan pra sekolah.

Dalam perkembangan lain, berkenaan penganugerahan pingat darjah tertinggi SPDK kerajaan Sabah sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah ke-63 baru-baru ini.

Rosmah adalah antara lima penerima Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’.

“Apakah ini sebagai ‘rasuah’ kepada Perdana Menteri ketika beliau terlibat dengan kes Hong Kong? Sebelum ini Musa telah ‘mengarahkan’ Kerajaan Negeri kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan untuk menutup kes rasuahnya,” ujar Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Shamsul, baginya setiap darjah adalah satu pengiktirafan disebabkan jasa yang disumbangkan kepada negeri. Tetapi dalam soal Rosmah rakyat mempertikaikan sumbanganya yang baru beberapa bulan dilantik menjadi wanita pertama negara.

"Akan timbul persepsi pemberian ini adalah cubaan Musa Aman untuk menutup kes beliau dengan harapan sebarang tindakan oleh Najib terhadapnya akan dibantah oleh Rosmah yang semakin berpengaruh di Putrajaya," katanya.

Berhubung dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang sehingga kini masih lagi berdiam diri.

"SPRM juga sepatutnya sudah mula menyiasat perkara dan tidak memerlukan laporan bertulis, ini adalah soal maruah negara yang diperhatikan oleh masyarakat antarabangsa, nampak sangat SPRM takut untuk menyiasat jika ia melibatkan pemimpin Umno," tegas Shamsul.

No comments: