Monday, October 26, 2009

BAJET UNTUK ISTERI

RM 100 JUTA UNTUK PERMATA

Ketua AMK pusat Shamsul Iskandar Md Akin menyelar tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM 100 juta kepada isterinya Rosmah Mansor melalui program pendidikan awal kanak-kanak yang dikenali sebagai 'program permata negara'.

Menurut Shamsul peruntukan ini melampau dan tidak sepatutnya diberi kepada program yang semata-mata dinaungi oleh isteri beliau.

"Umum mengetahui projek ini adalah projek peribadi Rosmah, sepatutnya peruntukkan sebanyak itu mesti disalurkan melalui kementerian yang berkaitan," ujar Shamsul yang baru dilantik sebagai pengerusi pimpinan KEADILAN Negeri Melaka.

Bagi AMK ini adalah satu penyelewengan secara terang-terangan yang melibatkan wang rakyat dalam nilai yang cukup besar.

Jelasnya lagi, apa yang menjadi keutamaan kita ialah wang rakyat dalam bajet sesebuah negara perlu mengikut urus tadbir yang sesuai supaya ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan apabila timbul masalah dikemudian hari.

"Saya berpendapat rakyat sudah cukup tertekan dengan bajet yang dibazirkan sebanyak RM 28 bilion yang sepatutnya lebih memberi nilai yang produktif kepada rakyat untuk menghadapi krisis ekonomi kini," katanya.

Mengulas isu yang sama Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) Raimi Abd Rahim berkata peruntukkan ini agak besar bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

"Sepatutnya nilai sebegini diberikan kepada dua atau tiga NGO yang berkaitan, pembahagian kepada beberapa NGO ini akan membolehkan kita membuat perbandingan berkenaan pencapaian projek ini," katanya.

Beliau juga mempersoalkan apakah KPI yang digunakan oleh kerajaan bagi memastikan projek ini berjaya dengan cemerlang. Apa yang membimbangkan katanya dasar kerajaan yang berubah-rubah berkenaan pendidikan akan menyebabkan ia tidak mencapai objektifnya.

"Satu lagi masalah yang mungkin timbul ialah mungkin akan timbul jurang bagi anak-anak yang tidak berpeluang memasuki program berkenaan," terangnya.

Bagi Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Semenanjung, Sabri Arshad melahirkan kebimbangan kerana projek ini mungkin dilakukan tanpa kajian kukuh.

Ini kerana menurut beliau sehingga kini pihaknya yang mewakili guru-guru Melayu semenanjung masih belum diberi taklimat berhubung perancangan dan juga perjalanan program yang diuar-uarkan ke seluruh pelusuk negara.

Menurut Ketua Wanita KEADILAN Zuraidah Kamaruddin yang dihubungi Suara Keadilan turut mempertikaikan nilai yang diberi kepada Permata.

Katanya, apa yang pasti kerajaan boleh menyalurkan bajet ini kepada mana-mana agensi kerajaan yang lebih memerlukan bagi menaiktaraf kehidupan rakyat. Saya rasa peruntukkan yang diberikan untuk membangunkan kaum wanita juga sedikit. Sedangkan ia memerlukan peruntukkan yang besar.

"Jika hendak diikuti sewaktu penubuhannya juga sudah menimbulkan kekeliruan kerana Permata wujud tanpa perbincangan yang konkrit, disamping itu peruntukkan yang terdahulu juga berlaku ketirisan dan belum mendatangkan hasil," terangnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Sebelum ini sewaktu membentangkan pakej ransangan 2009 kerajaan telah memperuntukkan RM 200 juta bagi menjalankan program Permata dan pendidikan pra sekolah.

Dalam perkembangan lain, berkenaan penganugerahan pingat darjah tertinggi SPDK kerajaan Sabah sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah ke-63 baru-baru ini.

Rosmah adalah antara lima penerima Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’.

“Apakah ini sebagai ‘rasuah’ kepada Perdana Menteri ketika beliau terlibat dengan kes Hong Kong? Sebelum ini Musa telah ‘mengarahkan’ Kerajaan Negeri kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan untuk menutup kes rasuahnya,” ujar Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Shamsul, baginya setiap darjah adalah satu pengiktirafan disebabkan jasa yang disumbangkan kepada negeri. Tetapi dalam soal Rosmah rakyat mempertikaikan sumbanganya yang baru beberapa bulan dilantik menjadi wanita pertama negara.

"Akan timbul persepsi pemberian ini adalah cubaan Musa Aman untuk menutup kes beliau dengan harapan sebarang tindakan oleh Najib terhadapnya akan dibantah oleh Rosmah yang semakin berpengaruh di Putrajaya," katanya.

Berhubung dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang sehingga kini masih lagi berdiam diri.

"SPRM juga sepatutnya sudah mula menyiasat perkara dan tidak memerlukan laporan bertulis, ini adalah soal maruah negara yang diperhatikan oleh masyarakat antarabangsa, nampak sangat SPRM takut untuk menyiasat jika ia melibatkan pemimpin Umno," tegas Shamsul.

UMNO GUNA ISLAM UNTUK RAIH SOKONGAN MELAYU



Cadangan penubuhan Dewan Ulama dalam Umno semasa perhimpunan agung parti itu baru-baru ini dilihat sebagai satu tindakan terdesak bagi meraih semula sokongan orang Melayu yang jelas menolak Umno dalam beberapa siri pilihan raya yang lalu.

Idea yang dikemukakan oleh perwakilan dari Pulau Pinang ini juga dilihat selaras dan cuba melobi Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini gemar menggunakan ungkapan Islam dalam setiap ucapannya diseluruh negara.

Menurut ahli majlis pimpinan pusat parti KEADILAN Dr Nur Mohamad Manuty berhubung perkara ini. Menurut beliau, propaganda Umno berkenaan untuk menyuntik ruh Islam dalam parti itu ada kaitan dengan ketakutan mereka terhadap pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS dan KEADILAN.

"Imej Anwar sendiri sebagai pemimpin Islam sudah diketahui hingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

Ternyata pesona Islam yang ada pada Anwar dan pemimpin PAS telah menyakinkan rakyat dengan memilih parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu. Fenomena sekarang adalah orang Melayu sudah mula mendekati parti yang ada ciri-ciri ini.

Kata Dr Nur Manuty lagi, adalah janggal apabila mendengar Najib Razak berceramah dengan menggunakan ayat-ayat Al quran dan petikan ungkapan Saidina Ali. Jika dahulu ungkapan-ungkapan begini hanya kedengaran di ceramah-ceramah parti pembangkang sahaja.

Tetapi jelasnya lagi, saya ingin menasihatkan presiden Umno itu agar membersihkan dirinya dari dari tuduhan-tuduhan moral yang terpalit pada batang tubuh beliau selama ini.

"PM didakwa banyak terlibat dengan masalah moral sehingga diketahui ke peringkat antarabangsa, kata Ibnu Sina syarat untuk menjadi pemimpin seseorang itu perlu sukses memimpin dirinya sendiri," katanya.

Jika rakyat sendiri melihat pemimpin tidak bersih mana boleh ia mentadbir negara ini dengan baik. Tanpa keyakinan terhadap pemimpin tentu sukar rakyat untuk mengorbankan diri terhadap negara.

Berkenaan penubuhan Dewan Ulama Umno, bekas presiden Abim ini menempelak usaha ini. Baginya mengikut sejarah parti itulah yang meminggirkan sayap ulama Umno yang membawa kepada penubuhan Parti Islam Se- Malaya(PAS).

"Kini hanya kerana untuk kepentingan politik, golongan terdesak ini cuba menjilat kembali pengkhianatan mereka terhadap sayap agama parti itu," katanya.

Sementara itu, mengulas isu sama Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Umno sebenarnya belum bersedia untuk mengubah dasarnya.

"Kewujudan Dewan Ulama Umno hanya akan menjadi 'lipstik' kerana dewan itu tidak boleh berperanan sebaiknya melainkan Umno benar-benar bersedia mengubah dasar perjuangan mereka," katanya.


Ini kerana, tegasnya dasar Umno bertentangan dengan Islam sekali gus menyekat para ulama untuk menjadi penasihat yang baik.

"Jadi saya lihat dalam konteks ini kalau sekiranya ulama-ulama dalam Umno mampu memperbetulkan perjuangan Umno selari dengan kehendak al-Quran dan hadis maka ia menjadi positif dan sangat baik," katanya dipetik daripada web berita parti itu.

Justeru tegas beliau, jika peranan Ulama Umno sekadar untuk menjadi pesaing kepada Dewan Ulama PAS maka matlamat menubuhkan Dewan Ulama Umno tidak akanmenghasilkan sesuatu yang baik.

Bagi "(Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat) pula dah merapu, agensi agama rasmi pula ambil jalan selamat kerana tak mahu komen atau jawab beberapa isu, maka perlulah diwujudkan Dewan Ulama Umno," katanya.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas cadangan Umno Pulau Pinang dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang mahukan parti itu menubuhkan Dewan Ulama Umno serta mempergiatkan usaha untuk mendekati golongan agamawan.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, ulama Umno boleh memainkan peranan dalam soal keagamaan kerana agensi-agensi agama rasmi sedia ada mengambil sikap 'jalan selamat' dengan enggan mengulas mengenai beberapa isu yang ditimbulkan.




Isu Adun Johol, Lenggeng


BN TIDAK PERLU TAKUT KOSONGKAN KERUSI


Barisan Nasional(BN) tidak perlu berdalih dan menyembunyikan fakta yang sebenar berkenaan kedudukkan ADUN Johol dan Lenggeng yang dikatakan mengalami masalah kesihatan dan juga rasuah.

Jika kemenangan di Bagan Pinang BN mendakwa rakyat sudah beralih sokongan dan menolak Pakatan Rakyat(PR) oleh itu mereka tidak perlu takut untuk mengadakan pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan terbabit.

Bagi ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin apa yang jelas kedua-dua ADUN ini mempunyai masalah yang tersendiri.

"ADUN Johol, Datuk Roslan Md Yusof diketahui umum mengalami masalah kesihatan dan gagal menemui pengundi untuk menyelesaikan masalah setempat," katanya.

Menurut Badrul lagi, pihak KEADILAN melihat keadilan perlu diberi kepada rakyat dan juga ADUN terbabit. ADUN Johol sebagai contoh perlu diberi ruang untuk memberi peluang kepada rakyat kawasannya untuk memilih wakil baru yang boleh berkhidmat.

"Alasan BN bahawa pihak ahli parlimen boleh mengambilalih untuk menjaga kawasan adalah bukan satu alasan yang bijak dan ia tidak baik untuk sistem demokrasi," jelasnya .

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim jelas Badrul mempunyai masalah yang lebih kronik. Beliau telah ditangkap menerima rasuah dan semasa ditangkap terbukti wang ada ditangan beliau.

"Jika BN sebuah parti yang ada integiriti Mustafa mesti meletakkan jawatan, kerana beliau mewakili maruah parti. Situasi ini ternyata BN langsung tidak ada maruah," ujarnya.

Ini berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh PR dalam mengatasi dan betapa seriusnya kita untuk menghapuskan jenayah rasuah.

"Contoh dalam kes bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin yang berjiwa besar dengan mengundur diri kerana tidak mahu menyusahkan parti walaupun tuduhan ke atas beliau adalah mainan politik pihak lawan," tambahnya.

Soal Badrul, mana ada dalam sejarah ahli BN yang berani mengambil tindakan sedemikian.

"Yang dipilih semula untuk menjadi pemimpin ramai," sinis beliau.

Ditanya peluang PR jika pilihan raya kecil diadakan di kedua-dua kawasan terbabit. Badrul menjelaskan pihaknya sudah bersedia untuk bertempur dikawasan terbabit.

"Kita secara dasar sentiasa bersedia untuk menghadapi mana-mana pilihan raya, BN sendiri saya rasa sudah menjangka akan berlaku pilihan raya kecil dalam kedua-dua DUN ini, kerana dari maklumat yang diperolehi BN sudah mengaktifkan jentera mereka dalam kedua-dua kawasan terbabit," katanya.

Sebelum ini dalam laporan sebuah portal berita internet melaporkan ADUN Johol, Roslan Md Yusuf diura-ura akan berbuat demikian akibat mengalami sakit tulang belakang selepas jatuh sewaktu bermain badminton kira-kira dua bulan lalu.

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim pula didakwa akan dipaksa meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah.



MONOPOLI PUNCA INTERNET BERMASALAH



Pendedahan Timbalan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Australia, Michael Halpin berkenaan tahap kelajuan internet yang tidak memuaskan dibimbangi akan menjejaskan hasrat syarikat pelabur negara Kangroo berkenaan.

Menurutnya syarikat-syarikat Australia yang berhasrat untuk melabur bimbang dengan tahap kelajuan Internet yang tidak memuaskan di negara ini.

Capaian Internet yang laju adalah penting bagi syarikat-syarikat Australia yang mempunyai dokumen besar untuk dihantar dari Malaysia ke ibu pejabat mereka di Australia, katanya.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerana ia berkaitan dengan pengguna.

Mengakui bahawa masalah ini adalah besar kepada pengguna internet di negara ini. Katanya apa yang perlu adalah kerajaan perlu lebih serius untuk mengatasi masalah ini.

"Masalah ini mungkin disebabkan oleh dasar monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu sahaja. Hal ini akan menimbulkan masalah kerana jika ada aduanpun tindakan untuk menyelesaikan masalah adalah lambat kerana ia tidak bimbang kehilangan pelanggan," katanya.

Untuk itu, kata Yusof kerajaan perlu memecahkan monopoli dengan memberikan hak kepada banyak syarikat. Kaedah ini akan memberikan pesaingan dan pengguna boleh membuat pemilihan mana syarikat internet yang terbaik.

Bagi Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin menyatakan masalah ini tidak sepatutnya berlaku.

"Aduan sebegini tentunya memalukan negara, apa guna istiyhar negara ada lembah selikon dan bandar Cyber tetapi perkhidmatan memalukan," katanya.

Prasarana sepatutnya dipertingkatkan, apa guna TM mendapat tender berbilion ringgit bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negara ini sedangkan hasilnya mengecewakan, dakwa Khairul.

Tambahnya lagi, apa guna slogan rakyat diutamakan tetapi dalam kes ini rakyat tidak mendapat perkhidmatan yang baik. Sedangakan umum mengetahui bahawa internet merupakan keperluan yang besar dalam masyarakat ketika ini.

Khairul juga membidas Rais Yatim selaku menteri yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Daripada Rais sibuk mencari kesalahan para pelayar internet adalah lebih baik beliau melalui kementeriannya meningkatkan kualiti perkhidmatan ini, beliau pernah jadi menteri luar dan tahu betapa pentingnya hubungan perniagaan dengan Australia," terangnya lagi.

Sementara itu, di parlimen ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang meminta penjelasan dari pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkenaan berapakah kapasiti jalur lebar internet antarabangsa yang dipunyai oleh syarikat negara.

Dalam jawapannya kementerian terbabit menjelaskan kapasiti jalur lebar dimiliki oleh konsortium anatarabangsa. Manakala Telekom Malaysia(TM) selaku penyedia perkhidmatan internet terbesar Malaysia merupakan pengguna dan antara pemegang ekuiti utama di dalam konsortium terbabit.


PERDAMAIAN MCA TIDAK KEKAL LAMA



Perdamaian dua kepala dalam MCA antara Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek tidak akan kekal lama kerana tindakan itu bukan datang dari hati masing-masing, demikian jelas Pengerusi Kelab Penyokong PAS pusat, Hu Pang Chow.

"Perdamaian ini akan bertahan tiga hingga enam bulan sahaja," katanya.

Ditanya sebab perdamaian segera ini berlaku, Hu menjelaskan ini mungkin disebabkan desakan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebelum ini kedua-dua pemimpin parti kaum Cina ini dipanggil berjumpa Najib bagi menyelesaikan masalah setelah Ong Tee Keat ingkar dengan keputusan mesyuarat agung khas parti berkenaan.

Menurut Hu lagi, BN sebenarnya tertekan disaat mereka memperkenalkan slogan 1Malaysia yang bertujuan untuk menyatukan rakyat tetapi apa yang berlaku di dalam MCA mengambarkan cita-cita itu ibarat 'cakap tak serupa bikin'.

"Tetapi apa yang penting keputusan ini adalah bertitik tolak dari ramalan bahawa kesedian BN untuk mengadakan pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Tambahnya lagi, Najib mensasarkan isu MCA ini perlu diselesaikan dalam tempoh 24 bulan supaya tidak mengganggu persiapan BN.

Penyatuan dalam MCA akan memberi gambaran bahawa BN berada dalam keadaan yang kuat dan stabil bagi menyaingi Pakatan Rakyat(PR) sedangkan hakikatnya BN sentiasa berada dalam kemelut yang berpanjangan dan sukar untuk diselesaikan.

Sementara itu, dalam satu forum yang bertemakan pergelutan kuasa MCA, yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Ahli panel yang juga aktivis masyarakat Wong Chin Huat turut melontarkan pandangan.

Menurut Wong Chin Huat, apa yang berlaku kini berbeza daripada pergelutan kuasa MCA sebelum tahun 1990-an, perebutan kuasa dalaman MCA kini gagal mencungkil keghairahan dan menarik penyertaan masyarakat Cina secara umumnya.

"Ini kerana fungsi asas MCA adalah untuk melindungi masyarakat Cina. Seandainya orang Cina bukan lagi species terlindung dalam zoo, maka MCA tidak diperlukan," hujah beliau.

Baginya PRU pada tahun 1990 sebagai titik pertukaran, apabila PM ketika itu, Mahathir Mohamad mengambil pendekatan baru untuk berdialog secara terus kepada masyarakat Cina, setelah BN ditolak dalam PRU kelapan itu. Wawasan 2020 yang diutarakan selepas beberapa bulan sahaja BN tewas di kawasan orang Cina, telah berjaya mengubah persepsi masyarakat Cina terhadapnya.

Pada hematnya lagi, Ong Tee Keat yang merupakan ahli parlimen MCA yang tunggal di KL-Selangor sememangnya merasai bahang perubahan yang membara itu. Maka, tekad untuk menyiasat skandal PKFZ itu dibaca sebagai langkah Ong untuk menonjolkan imej baru atau wira bangsa untuk menyelamatkan MCA.

Namun, keikhlasan Ong untuk membanteras rasuah tetap diragui Wong, yang mempertikaikan mengapa Ong tidak berusaha untuk menyokong ke arah pembentukan sistem yang kukuh untuk membanteras rasuah, misalnya penggubalan Akta Kebebasan Informasi untuk memastikan agar skandal rasuah yang lain juga gagal dirahsiakan?

"Kita tidak memerlukan wira bangsa seandainya usaha banteras rasuah itu disistemkan," kata Wong.

Wong bagaimanapun tidak menganggap bahawa MCA mampu menyelesaikan kemelut ini, kerana pada pendapatnya, jalan keluar MCA adalah meleraikan kawalan Umnoterhadap BN, dan meleraikan kawalan BN terhadap negara.

Pergelutan MCA sekarang gagal memberi jawapan kepada kedua-dua persoalan asas ini, maka Wong menjangka krisis MCA bakal berlanjutan.

Tuesday, October 20, 2009

Tee Keat enggan lepas jawatan

Wibawa PM tercabar


Keengganan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat melepaskan jawatan selepas undi tak percaya dalam mesyuarat agung khas parti itu menimbulkan masalah yang berpanjangan kepada parti terbesar kaum Cina itu.

Tindakan ini bermakna Menteri Pengangkutan itu gagal memahami hasrat dan kehendak rakyat yang menolak beliau secara demokrasi. Tee Keat bagaimanapun berhujah keputusannya itu bersandarkan kepada perlembagaan parti yang menyatakan parti memerlukan undi 2/3 bagi menukar presiden parti.

Mengulas isu ini Timbalan Pengerusi AMK Pusat, Faris Musa berkata kedegilan Tee Keat membuktikan Najib Razak hilang wibawa selaku Pengerusi BN.

"Sebelum ini Najib diharapkan dapat menyelesaikan masalah dalaman BN yang tercipta dizaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, ahli BN sebelum ini mengharapkan Najib akan membawa perubahan serta memulihkan BN yang mengalami kekalahan teruk dalam siri pilihan raya yang lalu," jelasnya.

Jika benar ada dakwaan yang menyatakan Tee Keat tidak disukai oleh Najib ini bermakna keengganannya meletak jawatan adalah satu cara tindakan menentang kepimpinan Najib secara terbuka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul membidas Najib berkenaan ada dakwaan cuba campurtangan dalam masalah MCA.

"Siapa Umno hendak tegur MCA, masalah dalam parti sendiripun tidak dapat diselesaikan, tak payah nak sibuk dengan masalah orang lain," katanya.

Memetik laporan Buletin Awani, penganalisis politik MCA Khoo Kay Peng berkata adalah lebih baik pihak MCA diberi peluang untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campurtangan mana-mana pihak.

Bagi Pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) Profesor Dr Agus Yusof jika masalah dalaman MCA ini tidak diselesaikan ia akan menimbulkan masalah yang besar terhadap BN terutama dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Sebelum ini dalam mesyuarat jawantankuasa pusat parti itu yang berlangsung selama tiga jam, Tee Keat bercadang memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memutuskan sama ada perlu satu pemilihan baru kepimpinan parti.

Rumus menyatakan dalam mesyuarat berkenaan, jawatankuasa itu kini berpecah kepada tiga kumpulan - penyokong setia Ong, penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Majoriti daripada ahli jawatankuasa berpengaruh itu dikatakan pernah berpihak kepada Ong.

Dalam mesyuarat itu, difahamkan Ong didakwa diminta meletak jawatan dengan segera berdasarkan surat yang ditandatangani bersama oleh kira-kira 20 anggota CC termasuk dua naib presiden.

Mereka telah menandatangani surat itu malam sebelumnya semasa satu mesyuarat yang dipanggil oleh salah seorang daripada empat naib presiden parti di sebuah hotel berdekatan dengan Wisma MCA di Kuala Lumpur.

"Dua daripada naib presiden tidak menurunkan tandatangan manakala lain yang ada berbuat demikian. Ia sebenarnya pemberontakan dalaman.

"Apa yang menarik ialah tiada penyokong Dr Chua dalam jawatankuasa CC menandatangani surat itu," menurut sumber dalaman.

Sumber yang sama memberitahu Ong juga memuji penyokong Dr Chua kerana "mempunyai prinsip" dengan memilih untuk tidak menandatangani surat itu.

Penyokong Dr Chua, Loh Seng Kok, yang juga anggota CC, berkata mesyuarat itu sebenarnya satu pertarungan antara penyokong dan bekas pengikut Ong.

Katanya, kumpulan Dr Chua hanya inginkan pemilihan baru supaya ianya menjadi medan perebutan kuasa yang adil.

Kumpulan dalaman parti berkata semasa mesyuarat itu, Ong menjelaskan, oleh kerana keputusan EGM Sabtu lepas tidak meyakinkan dan akar umbi berpecah maka cara terbaik menyelesaikan krisis dalaman adalah dengan mengadakan pemilihan
baru.

Ong juga dikatakan menjelaskan bahawa tindakan disiplin terhadap Dr Chua merupakan keputusan kolektif oleh Majlis Presiden dan CC dan oleh kerana perwakilan menolaknya maka CC juga perlu mendapatkan mandat baru.

Ong kemudian mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Ming memanggil sebuah mesyuarat EGM mengikut Artikel 30.1 Perlembagaan parti sama ada parti itu harus mengadakan pemilihan baru bagi CC, kata orang dalaman itu.


Perhimpunan tidak bincang had penggal Presiden

UMNO LANTIK DIKTATOR BARU


PINDAAN perlembagaan Umno yang dicanang media arus perdana sebagai perubahan besar yang lebih demoraktik, sebenarnya taktik licik Presiden Umno untuk kekal berkuasa dalam tempoh panjang.

Biar banyak mana sekalipun pindaan diubah suai, dibuang atau ditokok tambah tapi ia langsung tidak menyentuh tempoh had penggal seseorang Presiden walaupun isu itu pernah dibangkitkan sebelum ini.

Tempoh had penggal itu sebelum ini dicadang bekas Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Badawi langsung tidak kedengaran, bahkan Suara Keadilan difahamkan ia ditolak Jawatankuasa Usul parti itu.

Tindakan itu bertujuan mempertahan kekuasaan Najib untuk memerintah Umno bagi tempoh panjang, seterusnya menyambung legasi mentor politiknya, mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir secara diktator.

Secara mudah, Najib membawa perubahan kecil tapi digambarkan sebagai transformasi besar-besaran yang beliau sendiri pastikan ia tidak akan menjejaskan kedudukan sebagai pemegang kuasa tertinggi parti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Hussin Ali berkata, pindaan Umno yang diterima dalam masa kurang sejam tanpa perbincangan mendalam membuktikan tradisi `pak turut' masih kuat, sekalipun Umno mengisytiharkan diri sebagai lebih demokratik

Hakikatnya, beliau berkata, KEADILAN telah membuat pindaan perlembagaan yang jauh lebih menyeluruh dan demokratik dalam satu kongres khas selama sehari suntuk pada 13 Jun lalu.

"Pindaan dibincang dengan teliti dan telus oleh perwakilan selama kira-kira lima jam. Salah satu perkara penting yang diluluskan ialah pindaan yang memberi setiap ahli parti hak mengundi untuk memilih pimpinan.

"Walaupun Najib mendakwa pindaan itu boleh menghapuskan “politik wang” tapi Dr Mahathir secara terus terang dan tepat menyatakan beliau tidak percaya ia akan berlaku," katanya

Menurut Naib Presiden KEADILAN, Mustafa Kamil Ayop ketika dihubungi berkata, ketidaksediaan menghadkan jawatan Presiden beerti Umno tidak bersedia untuk berubah.

"Cara ini kurang demokratik, malahan Umno takut untuk menghapuskan penguasaan presiden terhadap parti itu," katanya.

Tambahnya lagi, disaat semua parti melaksanakan perubahan, Umno masih lagi berada ditakuk lama. Ini satu gambaran bahawa Najib Razak sebenarnya masih gagal dan takut dengan bayang-bayang sendiri dalam menghadapi suara ahli Umno yang semakin susut kini.

Sementara itu, ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye pula menganggap perubahan yang berlaku dalam Umno dilihat jauh ketinggalan berbanding parti lain, khususnya KEADILAN.

"Lama-kelamaan, ia akan hanyut dan dilupa. Najib sebenarnya tidak membuat sebarang perubahan pada sistem parti, sebaliknya mengheret Umno ke era diktator. Ini diilham dari Dr Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun.

"Tapi, Dr Mahathir membuktikan pemerintahan kuku besi tidak membangunkan parti, sebaliknya merosakkan Umno," katanya yang menganggap perubahan itu tidak mengubah mentaliti ahli Umno.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata, perubahan tanpa menyentuh had tempoh penggal Presiden menyerlahkan wajah sebenar Najib yang mahu berkuasa selama mungkin.

Katanya, perubahan sistem yang tidak menjelaskan secara terperinci proses peralihan kuasa tertinggi, dilihat tidak lengkap dan menunjukkan kepentingan individu tertentu, tentunya Najib.

"Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang banyak mempengaruhi corak pentadbiran parti dan kerajaan, tentu mahu suaminya memegang tampuk kekuasaan Umno dan kerajaan untuk tempoh lama," katanya.

Pendek kata, Najib bermain politik demi kepentingan diri dengan menenggelamkan tempoh had penggal bagi mengelak cabaran musuh politiknya terutama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa mengintai kerusi tertinggi parti itu, selepas tidak berani mencabar Najib pada Perhimpunan Umno sebelum ini.

ISU ZAID: SERLAH KETAKUTAN BN



Realiti pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti sah jelas menakutkan Barisan Nasional (BN) yang kini diancam pergolakkan serius dalam parti komponennya. BN sedaya upaya cuba untuk menghalang Pakatan Rakyat menjadi kenyataan apabila cuba mendaftar Parti Rakyat Malaysia yang bertujuan menganggu proses pendaftaran PR.

Terkini isu percutian Datuk Zaid Ibrahim daripada KEADILAN dijadikan polemik oleh media perdana dan dipercayai mendapat arahan pihak pemerintah atasan BN.

Apa yang pasti isu Zaid ini sengaja diperbesarkan memandangkan wawasan bekas Menteri di Jabatan Perdana untuk menjadikan pendaftaran PR sebagai satu kenyataan.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar M Akin ketika dihubungi mengesahkan bahawa permainan media tentang isu percutian Zaid ini cukup luar biasa.

"Sedangkan Zaid dalam kenyataan medianya jelas memberitahu beliau bercuti atas sebab-sebab tertentu dan ingin memberi fokus bagi merealisasikan idea pendaftaran PR," katanya.

Tetapi media yang dikudakan oleh pemerintah condong mengeksplotasikan dan memberi gambaran yang Zaid ada masalah dan akan bertindak meninggalkan KEADILAN.

Kata Shamsul lagi, apa yang berlaku menunjukkan kepada rakyat bahawa BN begitu takut dengan kredibiliti dan kemampuan pemikiran tajam Zaid.

Zaid sebelum ini diberi tanggungjawab oleh KEADILAN untuk menyatukan parti PAS, DAP dan KEADILAN sebagai satu wadah yang memberi saingan yang sengit kepada BN.

"Untuk itu, PR difitnah dan dikatakan sebagai tidak stabil supaya rakyat hilang keyakinan terhadap kita," katanya.

Shamsul juga yakin dengan pengalaman yang dimiliki Zaid, beliau tidak akan tergugat dengan mainan jahat media ini.

Apa yang jelas tambah beliau, Zaid akan berjaya melaksanakan misi besar ini untuk menubuhkan PR.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media massa arus perdana telah memutarbelitkan cuti enam bulan yang diambil oleh Zaid dari tugas-tugasnya di dalam biro politik parti.

Anwar berkata beberapa perkara mengenai program di Sabah yang dikaitkan dengan Zaid turut diselesaikan tanpa masalah.

"Benda ini tidak berbangkit kerana dia baru telefon saya dari Sarawak bersama Presiden ada program parti. Kemudian dia hendak bercuti menunaikan haji. Program di Sabah itu kerana dianjurkan oleh cabang tanpa negeri. Dua hari lalu negeri bermesyuarat dan mengesahkan sebagai program negeri jadi selesai," katanya.

Di Sabah Zaid mengesahkan bahawa beliau hanya bercuti daripada tugasan biro politik. Selain menunaikan ibadah haji, beliau akan terus memikul tanggungjawab untuk memantapkan Pakatan Rakyat.

Ini sebagai persediaan untuk membentuk sebuah perlembagaan yang didokong oleh ketiga-tiga parti berkenaan iaitu, KEADILAN, PAS dan DAP bagi membolehkan ia mendaftar sebagai satu entiti politik.



Friday, October 16, 2009

FOKUS UNTUK TAWAN NEGARA BAGAN PINANG SAHKAN UMNO PARTI RASUAH

Kekalahan di Bagan Pinang tidak akan membantutkan usaha Pakatan Rakyat untuk terus berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan dan Negara khususnya.

Bagi ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof apa yang berlaku di Bagan Pinang adalah pengajaran kepada Pakatan Rakyat(PR) dalam menempuhi arena politik negara.

Menurut Yusmadi lagi, untuk menjadi parti yang diterima rakyat, PR perlu mengakui bahawa mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan rakyat di Bagan Pinang menolak PR.

"Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa unsur-unsur penyalahgunaan jentera kerajaan juga adalah penyumbang kepada kekalahan kita," katanya.

Pihak PR juga perlu melihat sedalam-dalamnya punca masalah penolakkan ini. Sebagai contoh isu berkenaan masyarakat India seperti di Kg Buah Pala dan juga perkara yang melibatkan masalah orang Melayu.

"Masalah-masalah ini perlu diangkat oleh PR kerana sedikit sebanyak ia mungkin memberi kesan kepada politik kita," ujarnya lagi.

Tambah Yusmadi, PR tidak silap dari segi formula tetapi mungkin salah dari segi strategi.

"Pada saya dari segi formula PR sudah berada dilandasan yang betul barangkali rakyat masih lagi terperangkap dengan politik lama(perkauman) yang dibawa oleh Umno tetapi dalam masa yang sama apa yang perlu ialah PR lebih agresif mengangkat budaya politik baru," terangnya.

Tindakan yang sedemikian rasanya lebih releven dalam menolak budaya politik Umno ini.

Mengakui kekalahan di Bagan Pinang adalah satu yang baik bagi PR.

"Sikap berterus terang dalam menilai prestasi parti adalah lebih baik, saya rasa rakyat boleh menerima jika kita mengakui kelemahan dan cara ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PR, cara ini akan memudahkan untuk kita menawan negara," katanya.

Disamping itu Yusmadi juga mengesa agar golongan muda perlu diberi lebih peranan dalam pilihan raya yang akan datang.

Manakala bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata kekalahan itu bukan titik noktah kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menabur jasa dan membela nasib rakyat yang ditindas oleh pemerintahan Umno/BN.

"Kita terima. Kita akan teruskan berkhidmat pada rakyat. Kita akan terus perangi rasuah. Umno/BNboleh berbangga sebab memenangi pilihan raya kali ini. Tetapi gagal menunjukkan komitmen mereka dalam memerangi rasuah. Memilih perasuah sebagai calon. Ini suatu kemalangan kepada politik negara."

Umno sebelum ini lantang menjulang pedang kononnya ingin memerangi rasuah dan korupsi dalam pemerintahannya. Namun ternyata ianya retorik semata- mata apabila berkeputusan meletakkan bekas menteri besar negeri sembilan Isa Samad sebagai calon bagi pilihan raya kecil kali ini.

Isa Samad pernah digantung keahliannya dari Umno selepas terbukti bersalah apabila terbabit dalam rasuah semasa pemilihan Umno 2004.


Umno tidak berubah

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Umno kini kembali diterima oleh masyarakat. Bagi Yusmadi kemenangan Umno di Bagan Pinang adalah satu rahmat.

"Umno sebenarnya tidak berubah sebab mereka masih lagi tidak peduli dengan jenayah rasuah lantas sanggup memilih perasuah sebagai wakil mereka, ini bermakna mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah parti rasuah," katanya.

Tambahnya lagi dengan apa yang berlaku ini akan membuka mata rakyat Malaysia secara keseluruhan tentang perihal Umno yang tidak pernah berubah.

"Bagan Pinang adalah reaksi semasa bukan penolakkan kepada agenda PR," dakwanya lagi.

Bagi Mahfuz beliau melihat kemenangan Umno/BN dari kacamata yang positif.

"Kemenangan Umno/BN ada hikmah kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya Umum ke 13 nanti. Isa Samad akan cetus pergelutan politik dalam Umno, rakyat akan rasa muak dan putus asa pada BN," katanya.

PAS akan melakukan post-mortem dengan segera bagi meneliti segala aspek untuk menilai kegagalan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pelbagai komen, analisa dan cadangan yang diterima oleh PAS ketika ini akan diteliti untuk melihat punca kegagalan PAS dalam pilihan raya berkenaan.

"Apa yang pasti ialah PAS akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek ? politik tempatan dan nasional ? untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

"Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan," jelasnya dalam satu kenyataan daripada Syria melalui setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri.

Tambahnya, semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS diminta supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

PEMILIHAN CARA UMNO TIDAK AKAN SELESAI MASALAH RASUAH


Pindaan perlembagaan Umno bagi mengantikan cara pemilihan yang kuno ciptaan Mahadtir Mohamad tidak akan menyelesaikan masalah rasuah yang membarah di dalam parti Melayu ini.

Ini kerana secara dasarnya Umno gagal memerangi budaya ini dengan pemilihan Isa Samad sebagai ADUN Bagan Pinang baru-baru ini.

Selebihnya jika dibilang satu persatu yang duduk dalam pimpinan tertinggi parti itu pernah terpalit dengan pertuduhan rasuah. Mereka ini hanya selamat kerana kekurangan bukti ataupun terpaksa bergantung kepada talian hayat yang merupakan individu yang berkuasa pada masa itu.

Tindakan Umno menghapuskan sistem kuota pemilihan serta melonggarkan konsep ketuanan Melayu, menyerlahkan lagi keengganan parti perkauman Melayu itu untuk berubah demi kepentingan rakyat.

Ianya kerana beberapa pindaan pada perlembagaan dalam Pemilihan Agung Umno sekarang didakwa, masih bersifat perubahan yang palsu.

Selagi Umno tidak berani menyerahkan kuasa pemilihan sepenuhnya kepada perwakilan, selagi itu Umno terus dibelit dengan amalan rasuah.

Perubahan yang diperkatakan oleh kebanyakan pemimpin Umno tersebut hanya mengulangi retorik politik lama yang telah pun menjadikan Pakatan Rakyat lebih disokong rakyat berbanding Barisan Nasional semenjak 8 Mac tahun lalu.

Natijahnya pindaan yang dibuat bukan bersifat semula jadi, tetapi meniru trend perubahan rakyat yang sedia ada dan meniru prinsip-prinsip bersama dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Najib Razak sebenarnya sudah ketandusan cara bagi meraih sokongan rakyat. Kekalahan demi kekalahan dalam siri pilihan raya kecil kecuali dengan penipuan undi tentera di Bagan Pinang adalah ketakutan yang bukan kepalang.

Perlu disedari apa yang dibuat oleh Najib itu sebenarnya dalam keadaan terpaksa. Beliau tidak cukup berani sehingga mengadakan beberapa sekatan lain (pindaan) yang baru...setelah menyedari Umno tidak lagi bersama kehendak rakyat dan hakikatmya Umno sedang ditinggalkan sendiri oleh ahli-ahlinya.

Dan lebih perit rungutan daripada kompenan BN sendiri yang sering menyalahkan Umno sebagai trend berubahnya sokongan kaum lain terhadap BN.

Apa langkah BN adalah satu tindakan terdesak bagi menyaingi tindakan pesaing politiknya PKR yang terlebih dahulu memulakan tranformasi bagi memberi sati demensi baru politik negara.

Ketakutan Umno kepada PKR jelas terbayang dari segenap tindakan mereka, serangan berbentuk peribadi kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah respon kepada pengaruh Anwar yang sudah meresap dalam roh perjuangan rakyat.

Anwar tidak perlu menjawab segala tomahan ini, biar rakyat yang sudah terbuka dengan permainan politik baru ini menilai dan memberi hukuman terhadap kebobrokan politik Umnno itu sendiri.

Biarkan Khairy Jamaluddin itu menjadi singa sarkas yang kuat mengaum dikandang sendiri tetapi takut berburu dipadang datar.

Cuma satu ingatan kepada Khairy sampai bila beliau boleh mengaum didalam sarkas itu sedangkan tuan sarkas yang menjadi tempat beliau mengaum itu bila-bila masa boleh membuang beliau keluar dari kandang.