Thursday, November 5, 2009

GELOMBANG KE DUA PENSWASTAAN


RAKYAT TERUS TERTINDAS, KRONI KAUT UNTUNG

Jaminan kerajaan akan mencipta gelombang ke dua penswastaan dalam pembentangan Bajet 2010 yang lalu dilihat sebagai langkah kebelakang dan mirip untuk mengekori tindakan mentor politiknya Tun Mahathir Mohamad yang membawa gelombang pertama penswastaan kira-kira 26 tahun yang lalu.

Menyedari atau tidak masalah yang dibawa Mahathir dalam penswastaannya yang awal, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beralasan dasar ini bertujuan mengurangkan penglibatan kerajaan dalam sektor ekonomi.

Dasar ini menjadi lebih retorik apabila Najib yang juga menteri kewangan meletakkan harapan agar penswastaan ini akan menjadikan syarikat ini lebih berdaya maju dan dapat menjadi agensi yang lebih cekap seterusnya mengurangkan kebergantungan kewangan kepada kerajaan.

Melihat kepada objektifnya dasar yang pada mulanya dipelopori oleh Britain ini berkembang melangkaui benua Amerika dan berjaya dilaksanakan dengan jaya di Perancis kerana ketelusan dalam perlaksanaanya.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya. Sehingga kini hampir setiap syarikat yang menjalani proses penswastaan mengalami kerugian dan membebankan rakyat yang membayar cukai bagi menyelamatkan syarikat ini terus mengalami kejatuhan dan memalukan negara.

TIDAK TOLONG RAKYAT


Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman mengakui bahawa bukan semua projek penswastaan itu baik untuk negara. Terutama dalam kontek penswastaan yang dibawa oleh BN.

Jika dahulu matlamatnya adalah menyelamatkan rakyat dan negara tetapi kini rakyat terpaksa menanggung akibat kecuaian yang dibuat oleh mereka yang telah diberi tanggungjawab menguruskan syarikat ataupun agensi terbabit.

"Apa sudah jadi pada takrif elektrik kini, dahulu rakyat hanya perlu membayar RM1 perunit tetapi apabila diswastakan menjadi Tenaga Nasional Berhad(TNB) takrif naik RM2.50 per unit," jelasnya yang memperlihatkan TNB langsung tidak memahami kesulitan dan masalah rakyat.

Semua bayaran meningkat apabila diswastakan. Apabila diswastakan, badan-badan ini kena memikirkan tentang keuntungan. Untuk memberi keuntungan kepada perniagaan, syarikat terpaksa mengenakan cas yang sesuai supaya kerugian tidak berlaku. Sudah tentu pengguna atau rakyatlah terpaksa menanggung cas yang dikenakan itu.

Memanglah bagus kalau dasar penswastaan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan terbaik kepada rakyat tetapi sepatutnya ia tidaklah sampai membebankan rakyat dengan bayaran-bayaran perkhidmatan yang tinggi. Kalaupun bayaran cas perkhidmatan yang dikenakan itu tidak mungkin dapat dikurangkan daripada harga sebelum ianya diswastakan setidak-tidaknya hendaklah sama seperti harga sebelum ini supaya ia tidak menambah beban kepada rakyat.

Dasar penswastaan harus dilihat sebagai cara untuk menambah kecekapan kepada perkhidmatan awam tetapi bukannya sampai untuk mencari keuntungan yang akan membebankan rakyat.

Keadaan bertambah malang menimpa rakyat jelata bila dasar penswastaan ini telah memperkayakan orang-orang yang memegang kuasa politik di negara ini.
Pemimpin-pemimpin politik beserta suku sakatnya mempunyai kaitan rapat dan berkepentingan dalam semua projek-projek dan badan-badan kerajaan yang telah diswastakan itu. Mereka mungkin mempunyai hubungan secara langsung seperti menjadi pengerusi atau lembaga pengarah atau secara tidak langsung melalui pemilikan saham yang besar yang khas diperuntukkan kepada mereka.

Mengambil satu contoh sewaktu beliau menjadi timbalan menteri di bawah kabinet Tun Mahathir dulu dalam satu mesyuarat timbul isu Spanco yang diberi tanggungjawab menyelia dan membaikpulih kenderaan kerajaan dengan harapan dapat menjimatkan kos.

"Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.Apabila Ketua Setiausaha Negara ketika itu Tan Seri Halim Ali menyiasat harganya naik empat kali ganda," katanya apa yang menyedihkan syarikat-syarikat ini ada kaitan dengan tokoh-tokoh politik dalam kerajaan.

Sebab itu, sehingga kini amat mustahil untuk kita mendengar suara pemimpin-pemimpin politik terutama dari BN yang lantang mewakili rakyat yang tertindas mengkritik dasar penswastaan ini.

Ini kerana segala perut dan kantung ahli politik BN ini telah senak dan kenyang menerima habuan daripada syarikat-syarikat swasta ini dimana mereka ada kepentingan.

Sehinggakan seorang bekas menteri kabinet apabila bersara barulah terkejut dengan kadar tol yang dikenakan oleh syarikt konsesi terbabit. Mungkin selama menjawat jawatan ini segala keperluannya ditanggung beres oleh kerajaan.

Natijahnya inilah buruknya apabila pemimpin-pemimpin politik terlibat atau berkepentingan dalam perniagaan dan syarikat-syarikat swasta. Keuntungan pada syarikat-syarikat swasta atau perniagaan yang dia terlibat akan juga memberi keuntungan pada dirinya. Perjuangan untuk membela nasib rakyat atau untuk meringankan masalah rakyat akan jatuh kepada nombor dua.

KETIRISAN DALAM PENGURUSAN

Bagi ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar tidak menolak penswastaan secara total. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia dasar ini menjadi tempat ahli politik meneruskan kesinambungan kuasa tanpa mempedulikan jerih perit yang menimpa rakyat.

"Penswastaan adalah satu-satunya cara yang amat berkesan untuk menyelesaikan masalah ketidakcekapan dan tidak produktif yang berlaku dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang diuruskan oleh pihak kerajaan," jelasnya rungutan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan awam yang diberikan oleh badan-badan kerajaan sebelum ini telah mendorong pemerintah untuk menswastakan satu demi satu badan-badan kerajaan ini.

Menurutnya lagi, apa yang berlaku kini kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan syarikat-syarikat ini. Masalah ketirisan adalah satu malapetaka yang merosakkan seluruh sistem ini.

"Apabila disiasat puncanya semua melibatkan kepentingan politik yang dibayangi pemerintah, lebih mengejutkan ada dikalangan syarikat ini tidak menjelaskan pembayaran cukai menyebabkan rakyat menanggung kerugian," terangnya.

Begitulah yang terjadi dalam penswastaan lebuh raya, empangan Bakun, Puspakom, penswastaan perkhidmatan sokongan hospital, IWK dan banyak lagi. Modus operandinya begitu mudah iaitu individu atau syarikat akan membuat cadangan dan kemudian berunding dengan kerajaan dan selepas itu satu pengumuman dibuat projek A atau konsesi B telah diberikan kepada syarikat tertentu.

Individu atau syarikat berkenaan kemudiannya akan menyuntik atau menjual projek atau konsesi itu kepada sebuah syarikat awam pada harga yang tinggi. Dalam kes IWK ia telah diberikan kepada Prime Utilities yang dikuasai oleh Vincent Tan. Kemudian ia dijual kepada Transwater Berhad sebelum diambil oleh Idris Hydraulic yang dikuasai oleh Ishak Ismail pada harga RM20 sesaham.

Cuba congak berapa keuntungan yang dibuat oleh para pelabur yang menguasai syarikat ini sejak ia diswastakan pada tahun 1994?

Harga asas sahamnya pada mulanya hanya RM1 seunit tetapi bila ia disenaraikan di pasaran saham melalui proses penyenaraian melalui pintu belakang (reverse takeover) harganya melambung berkali ganda. Dalam proses bertukar tangan beberapa kali itu, harga saham Prime Utilities (syarikat induk IWK) pernah mencecah RM30 sesaham sebelum dijual kepada Ishak pada harga RM20 sesaham.

Banyak pihak yang menikmati keuntungan atas angin yang lumayan dari penswastaan IWK ini sebelum ia diisytiharkan bermasalah dan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan!

Bila ia bermasalah dan terpaksa diselamatkan, siapakah yang rugi? Tentunya para pembayar cukai!

ALIRAN, sebuah NGO yang lantang mengkritik program-program penswastaan berkata: "Apa jenis dasar penswastaan ini: apabila pemegang saham memperolehi keuntungan, mereka ketawa menerima wang berjuta-juta ringgit tetapi apabila mereka gagal, mereka menangis meminta bantuan kerajaan.

Kerajaan menyelamatkan dengan meminjamkan berjuta ringgit wang pembayar cukai. Jika usaha itu gagal, kerajaan akan mengambilalih syarikat bermasalah itu dan menanggung semua beban hutangnya. Sangat indah untuk para pemegang saham tetapi sangat menyedihkan untuk para pembayar cukai dan orang ramai.







No comments: