Tuesday, October 20, 2009

Tee Keat enggan lepas jawatan

Wibawa PM tercabar


Keengganan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat melepaskan jawatan selepas undi tak percaya dalam mesyuarat agung khas parti itu menimbulkan masalah yang berpanjangan kepada parti terbesar kaum Cina itu.

Tindakan ini bermakna Menteri Pengangkutan itu gagal memahami hasrat dan kehendak rakyat yang menolak beliau secara demokrasi. Tee Keat bagaimanapun berhujah keputusannya itu bersandarkan kepada perlembagaan parti yang menyatakan parti memerlukan undi 2/3 bagi menukar presiden parti.

Mengulas isu ini Timbalan Pengerusi AMK Pusat, Faris Musa berkata kedegilan Tee Keat membuktikan Najib Razak hilang wibawa selaku Pengerusi BN.

"Sebelum ini Najib diharapkan dapat menyelesaikan masalah dalaman BN yang tercipta dizaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, ahli BN sebelum ini mengharapkan Najib akan membawa perubahan serta memulihkan BN yang mengalami kekalahan teruk dalam siri pilihan raya yang lalu," jelasnya.

Jika benar ada dakwaan yang menyatakan Tee Keat tidak disukai oleh Najib ini bermakna keengganannya meletak jawatan adalah satu cara tindakan menentang kepimpinan Najib secara terbuka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul membidas Najib berkenaan ada dakwaan cuba campurtangan dalam masalah MCA.

"Siapa Umno hendak tegur MCA, masalah dalam parti sendiripun tidak dapat diselesaikan, tak payah nak sibuk dengan masalah orang lain," katanya.

Memetik laporan Buletin Awani, penganalisis politik MCA Khoo Kay Peng berkata adalah lebih baik pihak MCA diberi peluang untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campurtangan mana-mana pihak.

Bagi Pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) Profesor Dr Agus Yusof jika masalah dalaman MCA ini tidak diselesaikan ia akan menimbulkan masalah yang besar terhadap BN terutama dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Sebelum ini dalam mesyuarat jawantankuasa pusat parti itu yang berlangsung selama tiga jam, Tee Keat bercadang memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memutuskan sama ada perlu satu pemilihan baru kepimpinan parti.

Rumus menyatakan dalam mesyuarat berkenaan, jawatankuasa itu kini berpecah kepada tiga kumpulan - penyokong setia Ong, penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Majoriti daripada ahli jawatankuasa berpengaruh itu dikatakan pernah berpihak kepada Ong.

Dalam mesyuarat itu, difahamkan Ong didakwa diminta meletak jawatan dengan segera berdasarkan surat yang ditandatangani bersama oleh kira-kira 20 anggota CC termasuk dua naib presiden.

Mereka telah menandatangani surat itu malam sebelumnya semasa satu mesyuarat yang dipanggil oleh salah seorang daripada empat naib presiden parti di sebuah hotel berdekatan dengan Wisma MCA di Kuala Lumpur.

"Dua daripada naib presiden tidak menurunkan tandatangan manakala lain yang ada berbuat demikian. Ia sebenarnya pemberontakan dalaman.

"Apa yang menarik ialah tiada penyokong Dr Chua dalam jawatankuasa CC menandatangani surat itu," menurut sumber dalaman.

Sumber yang sama memberitahu Ong juga memuji penyokong Dr Chua kerana "mempunyai prinsip" dengan memilih untuk tidak menandatangani surat itu.

Penyokong Dr Chua, Loh Seng Kok, yang juga anggota CC, berkata mesyuarat itu sebenarnya satu pertarungan antara penyokong dan bekas pengikut Ong.

Katanya, kumpulan Dr Chua hanya inginkan pemilihan baru supaya ianya menjadi medan perebutan kuasa yang adil.

Kumpulan dalaman parti berkata semasa mesyuarat itu, Ong menjelaskan, oleh kerana keputusan EGM Sabtu lepas tidak meyakinkan dan akar umbi berpecah maka cara terbaik menyelesaikan krisis dalaman adalah dengan mengadakan pemilihan
baru.

Ong juga dikatakan menjelaskan bahawa tindakan disiplin terhadap Dr Chua merupakan keputusan kolektif oleh Majlis Presiden dan CC dan oleh kerana perwakilan menolaknya maka CC juga perlu mendapatkan mandat baru.

Ong kemudian mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Ming memanggil sebuah mesyuarat EGM mengikut Artikel 30.1 Perlembagaan parti sama ada parti itu harus mengadakan pemilihan baru bagi CC, kata orang dalaman itu.


1 comment:

sofian ishak said...

Cett! Masih menulis kat blog lagik! Ingatkan dah x percaya kat blog...