Tuesday, October 20, 2009

ISU ZAID: SERLAH KETAKUTAN BN



Realiti pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti sah jelas menakutkan Barisan Nasional (BN) yang kini diancam pergolakkan serius dalam parti komponennya. BN sedaya upaya cuba untuk menghalang Pakatan Rakyat menjadi kenyataan apabila cuba mendaftar Parti Rakyat Malaysia yang bertujuan menganggu proses pendaftaran PR.

Terkini isu percutian Datuk Zaid Ibrahim daripada KEADILAN dijadikan polemik oleh media perdana dan dipercayai mendapat arahan pihak pemerintah atasan BN.

Apa yang pasti isu Zaid ini sengaja diperbesarkan memandangkan wawasan bekas Menteri di Jabatan Perdana untuk menjadikan pendaftaran PR sebagai satu kenyataan.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar M Akin ketika dihubungi mengesahkan bahawa permainan media tentang isu percutian Zaid ini cukup luar biasa.

"Sedangkan Zaid dalam kenyataan medianya jelas memberitahu beliau bercuti atas sebab-sebab tertentu dan ingin memberi fokus bagi merealisasikan idea pendaftaran PR," katanya.

Tetapi media yang dikudakan oleh pemerintah condong mengeksplotasikan dan memberi gambaran yang Zaid ada masalah dan akan bertindak meninggalkan KEADILAN.

Kata Shamsul lagi, apa yang berlaku menunjukkan kepada rakyat bahawa BN begitu takut dengan kredibiliti dan kemampuan pemikiran tajam Zaid.

Zaid sebelum ini diberi tanggungjawab oleh KEADILAN untuk menyatukan parti PAS, DAP dan KEADILAN sebagai satu wadah yang memberi saingan yang sengit kepada BN.

"Untuk itu, PR difitnah dan dikatakan sebagai tidak stabil supaya rakyat hilang keyakinan terhadap kita," katanya.

Shamsul juga yakin dengan pengalaman yang dimiliki Zaid, beliau tidak akan tergugat dengan mainan jahat media ini.

Apa yang jelas tambah beliau, Zaid akan berjaya melaksanakan misi besar ini untuk menubuhkan PR.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media massa arus perdana telah memutarbelitkan cuti enam bulan yang diambil oleh Zaid dari tugas-tugasnya di dalam biro politik parti.

Anwar berkata beberapa perkara mengenai program di Sabah yang dikaitkan dengan Zaid turut diselesaikan tanpa masalah.

"Benda ini tidak berbangkit kerana dia baru telefon saya dari Sarawak bersama Presiden ada program parti. Kemudian dia hendak bercuti menunaikan haji. Program di Sabah itu kerana dianjurkan oleh cabang tanpa negeri. Dua hari lalu negeri bermesyuarat dan mengesahkan sebagai program negeri jadi selesai," katanya.

Di Sabah Zaid mengesahkan bahawa beliau hanya bercuti daripada tugasan biro politik. Selain menunaikan ibadah haji, beliau akan terus memikul tanggungjawab untuk memantapkan Pakatan Rakyat.

Ini sebagai persediaan untuk membentuk sebuah perlembagaan yang didokong oleh ketiga-tiga parti berkenaan iaitu, KEADILAN, PAS dan DAP bagi membolehkan ia mendaftar sebagai satu entiti politik.



No comments: