Monday, October 26, 2009

Isu Adun Johol, Lenggeng


BN TIDAK PERLU TAKUT KOSONGKAN KERUSI


Barisan Nasional(BN) tidak perlu berdalih dan menyembunyikan fakta yang sebenar berkenaan kedudukkan ADUN Johol dan Lenggeng yang dikatakan mengalami masalah kesihatan dan juga rasuah.

Jika kemenangan di Bagan Pinang BN mendakwa rakyat sudah beralih sokongan dan menolak Pakatan Rakyat(PR) oleh itu mereka tidak perlu takut untuk mengadakan pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan terbabit.

Bagi ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin apa yang jelas kedua-dua ADUN ini mempunyai masalah yang tersendiri.

"ADUN Johol, Datuk Roslan Md Yusof diketahui umum mengalami masalah kesihatan dan gagal menemui pengundi untuk menyelesaikan masalah setempat," katanya.

Menurut Badrul lagi, pihak KEADILAN melihat keadilan perlu diberi kepada rakyat dan juga ADUN terbabit. ADUN Johol sebagai contoh perlu diberi ruang untuk memberi peluang kepada rakyat kawasannya untuk memilih wakil baru yang boleh berkhidmat.

"Alasan BN bahawa pihak ahli parlimen boleh mengambilalih untuk menjaga kawasan adalah bukan satu alasan yang bijak dan ia tidak baik untuk sistem demokrasi," jelasnya .

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim jelas Badrul mempunyai masalah yang lebih kronik. Beliau telah ditangkap menerima rasuah dan semasa ditangkap terbukti wang ada ditangan beliau.

"Jika BN sebuah parti yang ada integiriti Mustafa mesti meletakkan jawatan, kerana beliau mewakili maruah parti. Situasi ini ternyata BN langsung tidak ada maruah," ujarnya.

Ini berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh PR dalam mengatasi dan betapa seriusnya kita untuk menghapuskan jenayah rasuah.

"Contoh dalam kes bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin yang berjiwa besar dengan mengundur diri kerana tidak mahu menyusahkan parti walaupun tuduhan ke atas beliau adalah mainan politik pihak lawan," tambahnya.

Soal Badrul, mana ada dalam sejarah ahli BN yang berani mengambil tindakan sedemikian.

"Yang dipilih semula untuk menjadi pemimpin ramai," sinis beliau.

Ditanya peluang PR jika pilihan raya kecil diadakan di kedua-dua kawasan terbabit. Badrul menjelaskan pihaknya sudah bersedia untuk bertempur dikawasan terbabit.

"Kita secara dasar sentiasa bersedia untuk menghadapi mana-mana pilihan raya, BN sendiri saya rasa sudah menjangka akan berlaku pilihan raya kecil dalam kedua-dua DUN ini, kerana dari maklumat yang diperolehi BN sudah mengaktifkan jentera mereka dalam kedua-dua kawasan terbabit," katanya.

Sebelum ini dalam laporan sebuah portal berita internet melaporkan ADUN Johol, Roslan Md Yusuf diura-ura akan berbuat demikian akibat mengalami sakit tulang belakang selepas jatuh sewaktu bermain badminton kira-kira dua bulan lalu.

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim pula didakwa akan dipaksa meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah.



No comments: