Tuesday, October 20, 2009

Perhimpunan tidak bincang had penggal Presiden

UMNO LANTIK DIKTATOR BARU


PINDAAN perlembagaan Umno yang dicanang media arus perdana sebagai perubahan besar yang lebih demoraktik, sebenarnya taktik licik Presiden Umno untuk kekal berkuasa dalam tempoh panjang.

Biar banyak mana sekalipun pindaan diubah suai, dibuang atau ditokok tambah tapi ia langsung tidak menyentuh tempoh had penggal seseorang Presiden walaupun isu itu pernah dibangkitkan sebelum ini.

Tempoh had penggal itu sebelum ini dicadang bekas Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Badawi langsung tidak kedengaran, bahkan Suara Keadilan difahamkan ia ditolak Jawatankuasa Usul parti itu.

Tindakan itu bertujuan mempertahan kekuasaan Najib untuk memerintah Umno bagi tempoh panjang, seterusnya menyambung legasi mentor politiknya, mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir secara diktator.

Secara mudah, Najib membawa perubahan kecil tapi digambarkan sebagai transformasi besar-besaran yang beliau sendiri pastikan ia tidak akan menjejaskan kedudukan sebagai pemegang kuasa tertinggi parti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Hussin Ali berkata, pindaan Umno yang diterima dalam masa kurang sejam tanpa perbincangan mendalam membuktikan tradisi `pak turut' masih kuat, sekalipun Umno mengisytiharkan diri sebagai lebih demokratik

Hakikatnya, beliau berkata, KEADILAN telah membuat pindaan perlembagaan yang jauh lebih menyeluruh dan demokratik dalam satu kongres khas selama sehari suntuk pada 13 Jun lalu.

"Pindaan dibincang dengan teliti dan telus oleh perwakilan selama kira-kira lima jam. Salah satu perkara penting yang diluluskan ialah pindaan yang memberi setiap ahli parti hak mengundi untuk memilih pimpinan.

"Walaupun Najib mendakwa pindaan itu boleh menghapuskan “politik wang” tapi Dr Mahathir secara terus terang dan tepat menyatakan beliau tidak percaya ia akan berlaku," katanya

Menurut Naib Presiden KEADILAN, Mustafa Kamil Ayop ketika dihubungi berkata, ketidaksediaan menghadkan jawatan Presiden beerti Umno tidak bersedia untuk berubah.

"Cara ini kurang demokratik, malahan Umno takut untuk menghapuskan penguasaan presiden terhadap parti itu," katanya.

Tambahnya lagi, disaat semua parti melaksanakan perubahan, Umno masih lagi berada ditakuk lama. Ini satu gambaran bahawa Najib Razak sebenarnya masih gagal dan takut dengan bayang-bayang sendiri dalam menghadapi suara ahli Umno yang semakin susut kini.

Sementara itu, ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye pula menganggap perubahan yang berlaku dalam Umno dilihat jauh ketinggalan berbanding parti lain, khususnya KEADILAN.

"Lama-kelamaan, ia akan hanyut dan dilupa. Najib sebenarnya tidak membuat sebarang perubahan pada sistem parti, sebaliknya mengheret Umno ke era diktator. Ini diilham dari Dr Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun.

"Tapi, Dr Mahathir membuktikan pemerintahan kuku besi tidak membangunkan parti, sebaliknya merosakkan Umno," katanya yang menganggap perubahan itu tidak mengubah mentaliti ahli Umno.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata, perubahan tanpa menyentuh had tempoh penggal Presiden menyerlahkan wajah sebenar Najib yang mahu berkuasa selama mungkin.

Katanya, perubahan sistem yang tidak menjelaskan secara terperinci proses peralihan kuasa tertinggi, dilihat tidak lengkap dan menunjukkan kepentingan individu tertentu, tentunya Najib.

"Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang banyak mempengaruhi corak pentadbiran parti dan kerajaan, tentu mahu suaminya memegang tampuk kekuasaan Umno dan kerajaan untuk tempoh lama," katanya.

Pendek kata, Najib bermain politik demi kepentingan diri dengan menenggelamkan tempoh had penggal bagi mengelak cabaran musuh politiknya terutama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa mengintai kerusi tertinggi parti itu, selepas tidak berani mencabar Najib pada Perhimpunan Umno sebelum ini.

No comments: