Friday, October 17, 2008

konspirasi terkini

Pak Lah terbuang atau terbilang


Siapa ‘dalang’?

KUALA LUMPUR: Tempoh enam bulan yang mendatang tentunya menjanjikan sesuatu yang menimbulkan lebih tanda tanya berkenaan masa depan politik negara.


Pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan menamakan Timbalannya sebagai penganti beliau dilihat sebagai sesuatu yang tidak demokratik dan bertentangan dengan perlembagaan parti itu sendiri- demikian jelas bekas pemimpin kanan parti Melayu itu Tengku Razaleigh Hamzah.


Tetapi itu semua adalah tradisi Umno dan selaku parti Melayu tentunya Umno akan tetap beriman dengan tradisi ini.


Bagaimanapun pengunduran awal penuh dramatik Pak Lah ini dari tarikh yang dipersetujui bersama mengundang pelbagai spekulasi. Dan persoalan yang kerap dibincangkan pada peringkat akar-umbi politik di Malaysia dewasa ini ialah terarah kepada siapakah ‘Dalang’ yang mencaturkan semua ini.


Soal kelantangan Tan Sri Muhyiddin Yasin sejak pulang dari memujuk Tun Mahathir agar kembali kepada Umno dan peranananya membentes Pak Lah secara terbuka di dalam dan khabarnya antara yang paling berani semasa mesyuarat Majlis Tertinggi mengundang wujudnya teori konspirasi baharu.


Manakala Najib selaku orang nombor dua parti seperti biasa hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak terlibat dalam kumpulan yang mendesak Abdullah agar berundur.


Watak diam Najib ini sememangnya telah menjadi tradisi beliau apabila berhadapan dengan sesuatu kemelut yang melibatkan kepentingan peribadinya. Muhyiddin pula biarpun dicanang pada peringkat akar-umbi sebagai calon yang paling gantang bagi mengantikan Pak Lah tiba-tiba mengundur ke belakang dengan menyatakan taat setianya untuk menjadi regu kepada anak Bapa Pembangunan Malaysia itu.


Bagaimana Muhyiddin yang telah pergi merayu kepada Tun Mahathir boleh memilih untuk setia kepada Najib sedangkan Tun sendiri sudah menyatakan hilang keyakinan kepada Najib.

Pendapat Tun ini bukan calang-calang pandangan, ia aadalah tokoh negarawan yang menjadi aset penting negara selama 22 tahun.


Dalam satu situasi Mahathir kelihatan lebih memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh yang sepatutnya bergandingan dengan Muhyiddin. Tetapi nasib malang sekali lagi menimpa Putera Raja dari Kelantan itu. Apabila tiba waktu pencalonan sehingga berita ini ditulis beliau masih gagal mendapat sebarang pencalonan.


Lebih mengejutkan lagi bilamana penulis politik terkenal Mohd Sayuti Omar dalam Blognya mendedahkan bagaimana Mahathir sebenarnya masih lagi tidak selesa dengan watak Tengku Razaleigh dalam Umno. Sikap Mahathir ini semakin menyakinkan khalayak siapa sebenarnya yang mahu disokong oleh beliau bagi mengantikan Abdullah yang sering dikritiknya itu.


Khabar dari kem Abdullah sendiri tidak kurang hebatnya. Bagi mereka Abdullah sebenarnya masih bernafsu untuk bertempur biarpun pada satu peringkat beliau begitu kecewa dengan sikap sebahagian ahli Majlis Tertinggi yang menikamnya dari belakang berkenaan peralihan kuasa yang dipersetujui bersama.


Keyakinan dari kem Abdullah ini untuk bertempur semakin menyerlah berlandaskan kepada perkembangan terkini yang berlaku serta melibatkan imej Najib selaku pengantinya.


Pendedahan maklumat berkenaan sisitem khidmat pesanan ringkas(SMS) Najib dan peguam terkenal Datuk Shafee juga mengundang persoalan. Begitu mudahnya memperolehi maklumat sulit berhubungan orang nombor dua negara.


Begitu juga persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Pembangkang di Parlimen lebih terarah kepada Najib yang ditabalkan selaku Menteri Kewangan 1.


Kembali didendangkan ialah komisyen pembelian kapal selam serta yang terkini berkenaan urusan meragukan pembelian helikopter yang mengantikan Nuri turut bergema di Dewan Rakyat.

Semua ini jangka bagi membangkitkan imej buruk Najib di mata rakyat serta menggagalkan perjalanannya menuju ke Putrajaya.


Berbaki enam bulan lagi Pak Lah semakin bertekad untuk melakukan sesuatu yang bermakna kepada negara ini. Pengumuman penubuhan tiga suruhanjaya adalah landasan terbaik untuk memulihkan imej beliau dalam sejarah negara ini pada masa hadapan.


Tindakan sesetengah pihak yang mencanangkan Abdullah selaku ‘Bapa Pendemokrasian Malaysia’ bukanlah sesuatu yang perlu dipandang sinis. Bersandarkan kepada fakta dan realiti mungkin timbul sedikit kebenaran terhadap pengiktirafan itu.


Jika propaganda ini diterima rakyat, ternyata Abdullah adalah pemenangnya. Maka apabila genap enam bulan tarikh pengunduranya, beliau boleh sahaja menarik balik ataupun menganjak kebelakang sedikit berkenaan pengundurannya.


Lazimnya ia bukan sesuatu yang luarbiasa tetapi Mahathir pernah menangguhkan pengundurannya dan secara tradisinya akar-umbi Umno akan kembali patuh kepada Presiden yang telah kembali mendakap kuasa.


belokkanan....

Politik naik turun!


Berpegang kepada akidah politik Islam yang syumul ternyata memberi kekuatan kepada YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga pengikutnya ketika memiliki majoriti dua kerusi sahaja sewaktu memerintah selepas pilihan raya 2004. Keadaan semakin sukar apabila tewas dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.


Bagaimanapun ketika inilah Tok Guru mempamerkan watak sebenar pemimpin Islam yang memiliki kesabaran yang tinggi serta nilai tarbiyah yang diberikan oleh beliau kepada ahli parti telah menyaksikan tidak ada satu suarapun yang mempertikaikan kepimpinan beliau, jauh sekali mendesak beliau berundur dari jawatan yang disandangnya.


Berbeda dengan Umno kini – Sewaktu memenangi pilihan raya 2004 dengan keputusan luar biasa nama Abdullah Ahmad Badawi dijulang, dibilang sebagai insan yang terbilang. Semua peringkat parti Umno dari yang tertinggi hingga ke akar-umbi semuanya salut kepada beliau.


Dijaja sebagai sebagai pemimpin ulung yang tiada cacat-celanya, manakala Abdullah pula seolah-olah hanyut dengan sokongan yang tiada batasnya. Maka berjanjilah sang ketua dengan harapan segala reformasi yang dijanjikan akan mendapat kerjasama daripada ahli parti untuk dilaksanakan.


Barangkali Perdana Menteri Ke-lima negara ini kurang membuat penyelidikan atau terpengaruh dengan penasihat-penasihat ‘20 persent’ beliau. Menyedari atau tidak bahawa parti yang diwakilinya sebenarnya sudah rosak dengan segala politik wang dan mereka yang sudah hilang roh perjuangan agama dan bangsanya.


Hasilnya keputusan pilihan raya 2008 menyaksikan episod malang buat Abdullah, kehilangan lima negeri benar-benar mengubah persepsi akar –umbi Umno sepertimana dicanang oleh barisan orang kanannya dahulu. Maka saat Abdullah perlu menerima sokongan dan dokongan dari ahlinya –lain pula jadinya.


Segala kelemahan dan punca tewasnya Parti yang rohnya Melayu itu ditudingkan ke atas Presidennya sahaja. Bermacam tuduhan lemah mentadbir, gagal dalam janji, tidak tegas dan segala sifat negatif yang dilaungkan oleh pembangkang sebelum ini kembali didendangkan oleh ahli Umno dengan menggunakan akar-umbi sebagai terasnya.


Anehnya pelopor Islam Hadhari itu juga turut terkesima dengan tindakan luarbiasa makmumnya.

Lantaran itu pelbagai cara dipraktikan bagi menyelamatkan keadaan. Maka bermesyuarat dan berkampunglah parti Melayu terbesar di dunia itu. Hasilnya terciptalah pelan peralihan kuasa yang memutuskan pada 2010 adalah tarikh luput pemerintahan Pak Lah.


Tetapi panas tidak sampai ke petang. Persetujuan yang dibulati oleh Majlis Tertinggi dan Jemaah Menteri kononnya, dikhianati oleh Timbalannya. Seperti lazimnya Najib Razak tidak akan memunculkan diri sebagai watak utama. Tetapi yang kehadapan ialah orang harapan Pak Lah dahulu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin.


Kelantangan Muhyiddin mula menyerlah setelah kembali dari pertemuannya dengan Tun Mahathir, sejak itu Muhyiddin mula berani mencabar ketuanya seterusnya merempuh tradisi demokrasi Umno yang memerlukan ahlinya taat kepada pemimpin.


Kini Pak Lah menghadapi hari-hari sukarnya sebagai Presiden dan Perdana Menteri. Ketika ini akhlak dan ketaatan ahli Umno tidak kira yang di atas atau dibawah sudah menyerlah nilainya. Majlis-majlis yang dihadiri Presiden sudah hilang seri dan pengikutnya. Inipun ketika Pak Lah masih berkuasa- bayangkan jika tiada jawatan nanti.