Monday, September 8, 2008

Seusai bermuktamar.......

Selamat bermuktamar- Perkukuhkan parti





Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung di Perak dari 13 sehingga 17 Ogos ini, ibarat menyaksikan semula sejarah kelahiran parti ini di Bukit Semanggol kira-kira 54 tahun lalu.


Tentunya ada sesuatu yang istimewa pada muktamar kali ini. Kejayaan gemilang Pas dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008. Sepatutnya muktamar kali ini menjadi medan paling selesa bagi Pas memperkukuhkan parti setelah tidak lagi bergelut mempertahankan kuasa sepertimana selepas pilihan raya 2004.


Sokongan dan dokongan dari golongan bukan Islam melalui Kelab Penyokong Pas, perlu diteliti dan dibahaskan secara jujur dan terbuka demi masa depan parti. Pertempuran politik alaf baharu ini sememangnya memerlukan resipi yang memenuhi selera semua dengan syarat tidak mengadai prinsip. Tentunya Islam yang dipegang oleh Pas sudah tersedia penyelesaianya.


Lontaran isu, berkenaan menaikkan taraf Kelab Penyokong Pas ke taraf “Dewan” perlu diberi perhatian yang serius. Elakkan dari perwakilan membahaskan perkara diluar lingkaran massa dan emosional sifatnya.


Barangkali Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, YB. Dr. Mujahid Yusof Rawa telah ada sesuatu yang bernas untuk dikongsi bersama para perwakilan. Diharapkan sedikit ruang yang perlu di ‘adjust’ dalam perlembagaan Pas menemui jalannya.


Dewan Ulama, Muslimah dan Pemuda perlu mengambil tindakan pro-aktif bagi merealitikan hasrat ini. Keterbukaan ketiga-tiga sayap ini dalam menerima perubahan adalah tunjang yang akan memastikan survival Pas pada masa akan datang.


Muktamar kali ini juga akan menyaksikan pertindihan tarikh dengan hari penamaan calon bagi parlimen Permatang Pauh iaitu pada 16 Ogos. Dalam perkara ini pihak pimpinan Pas telah mengeluarkan komitmen yang akan membantu Anwar Ibrahim.


Di sini juga terujinya sikap setia kawan Pas, yang senantiasa hadir disaat sahabat memerlukan bantuan.


Muktamar kali ini, berjalan lancar dan Permatang Pauh menjadi sinar baharu untuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

Setelah melihat cermin....


Wajah politik Malaysia


Lebih lima puluh tahun usia pemerintahan Malaysia menyaksikan hanya satu parti sahaja yang mendominasi politik nasional. Umno yang membawa roh Sang Saka Bangsa senantiasa mendabik dada bahawa hanya parti yang ditunjang olehnya sahaja mampu mampu mengekalkan kemerdekaan yang diwariskan oleh British ini.


Selain mereka rakyat dimomokkan bahawa keharmonian dan kemakmuran Negara ini akan lenyap di bawah naungan parti lain. Bagaimanapun sumpahan ini seakan berakhir pada pilihan raya yang lalu


Penguasaan tambahan empat negeri yang dirangkum dalam Pakatan Rakyat telah membuktikan momokan yang diterajui oleh Umno itu sebenarnya silap dan karut serta menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap parti-parti lain selain BN.


Kini wajah politik Malaysia lebih meriah dengan pelbagai dakwaan seperti lompat melompat parti yang entah bila kesudahannya.


Laporan juga mendapati perasaan marah dan tidak puas hati rakyat Sabah terhadap pimpinan pusat begitu meluap sehinggkan menimbulkan tekanan kepada ahli parlimen dari negeri di bawah bayu ini. Hasilnya diterjemahkan oleh kumpulan ahli parlimen ini dalam sesi perbahasan dewan yang lepas.


Kesemua ini mengundang ketidakselesaan terhadap pimpinan negara yang dilihat begitu komited untuk menyakinkan rakyat bahawa mereka masih releven dalam arena politik negara.


Angka lima puluh tahun juga menyaksikan negara ini sudah bebas dari belenggu penjajahan. Menjadi satu kewajipan kepada semua parti-parti yang memerintah negara untuk menjaga kedaulatan ini.


Membebaskan diri dari cengkaman pengaruh asing dalam menguruskan pentadbiran negara adalah satu amanah yang sangat berat dan memerlukan sikap amanah yang tinggi. Menyerapnya unsur-unsur asing dalam politik negara adalah satu pengkhianatan yang tidak dapat diampunkan oleh mana-mana sejarah tamadun manusia.

Menanti debaran di permatang......

Permatang Pauh dan Putrajaya

-kebenaran dan kebatilan-


Nun di utara tanahair tempat kelahiran Perdana Menteri ke lima Malaysia Abdullah Badawi suasana begitu hangat. Kunjungan para pendokong parti masing-masing tentunya menambah becak tanah Permatang Pauh tempat tumpahnya darah panglima Parti keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Bagi sesetengah pemerhati politik, pilihan raya kecil ini dianggap sangat penting dan luarbiasa kerana ianya akan menentukan hala tuju negara ini. Anwar dan segerombolan ahli partinya begitu yakin bahawa jalan untuk menduduki Putrajaya semakin hampir.


Bagaimanapun keyakinan pihak kerajaan yang kini bertahta di Putrajaya juga begitu tinggi bahawa apa yang dilaungkan oleh Anwar hanyalah sebahagian dari sesi janji-janji politik Anwar yang semakin tersepit dengan pelbagai tuduhan yang menjejaskan moralnya.


Apalah hikmahnya rakyat Permatang Pauh sepanjang pilihan raya kecil ini terpaksa menadah telinga memperlihatkan betapa rakusnya manusia apabila berpolitik. Kedengaran cerita-cerita dalam kain diucapkan dipentas-pentas ceramah yang turut dihadiri oleh anak-anak kecil. Apakah kesannya kepada anak-anak ini, sama-samalah kita lihatnya sepuluh tahun yang akan datang.


Perkara yang lebih membimbangkan ialah apabila bidang kuasa agama juga turut dijadikan taruhan bagi meraih sokongan. Aksi bersumpah yang mendahului keputusan mahkamah dilihat sebagai plot yang paling sadis. Persoalan kekadang timbul mengapa pihak yang bertanggungjawab seperti Majlis Fatwa Negara hanya membisu dan tidak memberi respon.


Pertelagahan di antara Ulama Pas dan yang Pro kerajaan tentunya mengundang pandangan yang negatif golongan bukan Islam terhadap agama suci ini. Tidak tahulah jika ini turut dilabelkan sebagai tempat untuk meraikan perbezaan pendapat yang dikatakan ada ruang dalam agama.


Jika ini adalah ruangnya, jangan sampai Islam itu diperlecehkan. Biarlah perbincangan dan perbezaan pendapat itu dihujahkan oleh mereka yang layak dan arif sahaja. Jangan amalkan politik matlamat menghalalkan cara. Biarlah kebenaran itu dinikmati bersama dan kebatilan sama-sama dibenteras.


Siapapun yang menang dan menjadi Perdana Menteri biarlah menyenangkan semua pihak. Elakkan sepertimana kata peribahasa Melayu ‘Yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang’. Perjalanan untuk membina negara ini masih jauh.

Selepas membelek sejarah....

Luka lama berdarah kembali


Pertempuran politik negara pada tahun ini meyaksikan sejarah lebih 10 tahun dahulu kembali mewarnai dan mengembalikan nostalgia hitam yang merobohkan system kehakiman dan badan penguasa negara ini.


Belati yang tertanam dalam jiwa rakyat khususnya penyokong mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum pulih kini tertusuk kembali dengan kejutan tatkala Anwar dikatakan sedang bersiap menduduki tampuk pemerintahan negara.


Kegoyahan Barisan Nasional(BN) dengan siri perletakan jawatan pemimpin utama parti kompenannya sedikit sebanyak memberi petanda adakah ini akan berakhirnya dinasti pemerintahan Umno yang mengepalai BN.


Undi tidak percaya yang diuar-uarkan oleh SAPP dan juga langkah berani mati blogger terkemuka negara dengan akuan bersumpahnya tentang pembabitan Datin Seri Rosmah Mansur, isteri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam tragedi menyayat hati terletupnya tubuh mulus Altantuya.


Ramai yang beranggapan dakwaan ke atas Anwar ini adalah talian hayat yang akan menyelamatkan BN dari tumbang dek gelombang yang dibawa oleh Anwar. Penafian oleh Anwar dan wujudnya konsprasi dari orang nombor dua negara seperti didakwa Wan Azizah menambahkan gelora kemarahan rakyat.


Tetapi rakyat juga menunjukkan riak kemarahan yang sedikit kecil bagaimana Anwar yang licik berpolitik itu boleh menerima kehadiran seseorang dalam pejabatnya tanpa melalui proses soal selidik latar belakang seperti yang didakwa oleh Presiden PKR itu.


Bagaimanapun reaksi awal Pak Lah menunjukkan beliau terkejut dengan dakwaan terkini itu lantas meminta pihak polis menjalankan tugas dengan baik. Ramai yang menyambut baik respon Pak Lah itu.


Dan seharusnya Pak Lah perlu mencermati perkara ini dan belajar daripada sejarah sepuluh tahun yang lalu di mana rakyat maasih tidak dapat menerima permainan politik yang sekotor itu.


Lebih-lebih lagi dalam keadaan emosi rakyat yang sudah senget hati dengan segala tindakan kerajaan yang membebankan rakyat.


Tinjauan melalui laman Web memperlihatkan keputusan konsisten rakyat masih tidak percaya dengan dakwaan tidak bermoral ini.


Lebih mengerunkan kebanyakan mereka ini bersedia ke jalanraya sekali bagi mempertahankan kebenaran dan keadilan.


Jika perkara ini berlaku apakah akan mempercepatkan proses penguasaan Pakatan Rakyat dalam negara ini. Namun biar apapun yang berlaku nasib rakyat akan terus terbela tanpa memusnahkan apa yang telah terbina selama ini.


Idea pagi merdeka....

Penjernihan budaya politik sempena 51 tahun merdeka


Bulan Ogos merupakan bulan keramat bagi rakyat negara. Ini kerana setelah lebih 450 tahun dijajah, maruah yang tergadai kembali dimiliki. Seterusnya pimpinan negara dengan kerjasama rakyat tanpa menoleh kebelakang terus berusaha memacu negara ini sepertimana yang dinikmati sekarang.


Biarpun ada pertikaian tentang kerajaan yang memerintah tetapi penghargaan tidak salah diberikan kepada kerajaan sepanjang pemerintahannya yang dipilih secara mutlak oleh rakyat.


Tetapi perbuatan pemerintah yang bertindak menggelapkan sisi sejarah pejuang kemerdekaan yang dilabel sebagai berhaluan kiri seharusnya dikecam sehingga maruah mereka kembali diputihkan.


Angka 50 tahun juga memperlihatkan tentang kebobrokan pemerintah yang diterajui BN sehinggakan rakyat sudah mula menunjukkan protes dan menolak mereka.


Ironinya juga pada Ogos ini telah berlangsung satu pilihan raya yang dianggap paling kotor dalam sejarah negara dan keputusannya sekali lagi menjadikan BN dikuburkan dalam arena politik negara.


Pengunaan media massa dan jentera kerajaan dan juga fitnah dan memperolokkan agama dengan pesta sumpah menyumpah adalah satu perkara yang keluar dari konteks tamadun masyarakat negara ini.


Sampai bilakah perkara ini akan berterusan dan menjadi santapan masyarakat terutama generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan pada masa akan datang.


Menjadi harapan masyarakat seandainya peralihan kuasa yang akan berlaku pasca pilihan raya Permatang Pauh, biarlah ianya menjanjikan sesuatu yang jernih dalam landskap politik negara.


Kerajaan yang dibentuk nanti(sekiranya berlaku) biarlah bertunjang kepada prinsip yang benar dan Islam semestinya ada peraturan dan cara melaksanakannya.


Jika ini berlaku pastinya sambutan kemerdekaan yang mencecah usia 51 tahun ini akan memberikan sesuatu yang lebih bermakna seperti mana generasi pejuang terdahulu yang menerima kemerdekaan ini.


Pasti terlalu banyak hitam yang perlu diputihkan dan bengkok yang perlu diluruskan apabila memerintah nanti. Dan perlu senantiasa diingat mengisi kemerdekaan itu lebih sukar dari melakukan sumpah tidak rasmi.


Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan mengunjungi bulan rahmat Ramadhan al –Mubarak.


Selamatkah rakyat?

Keluar mulut buaya?


KUALA LUMPUR: Kesudahan episod politik yang melanda negara semakin rumit dan sukar untuk diramalkan. Rata-rata rakyat sekarang ini terbeban dengan masalah ekonomi ekoran kenaikkan harga minyak menanti dengan penuh harapan agar sesiapa sahaja yang memerintah perlu menjalankan satu polisi yang menjamin kesejahteraan rakyat.


Situasi ini jika bersandarkan kepada janji-janji politik, Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan kerana janji-janji untuk menurunkan harga minyak kelihatan dapat menawan hati rakyat. Sedangkan tindakan yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan sangat tidak popular di mata nurani rakyat.


Isunya semua berpunca daripada kenaikan harga minyak yang sangat luarbiasa dalam keadaan ekonomi dan kestabilan politik antarabangsa tidak memungkinkan harga minyak melambung ketahap ini. Lebih ironis lagi kenaikan harga minyak ini seolah-olah hanya tertumpu kepada negara ini sahaja.


Puncanya telah disahkan oleh negara pengeluar minyak terbesar dunia yang bersidang baru-baru ini, dengan menamakan spekulasi Dollar Amerika adalah punca kepada segala masalah ini. Rakyat pula akan menunggu dan menilai apakah Anwar yang didakwa oleh sesetengah pihak mempunyai hubungan yang baik dengan kuasa besar dunia itu boleh menggunakan pengaruhnya untuk menurunkan harga minyak.


Apakah jaminan harga minyak dan ekonomi negara akan pulih jika diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Mampukah kerajaan yang dinaungi oleh Pakatan Rakyat ini membereskan soal kenaikan kenaikan harga minyak ini sedangkan negara pengeluar minyak yang baru bersidang telah menyatakan ketidakupayaan mereka dalam menangani soal kenaikan ini.


Ketidakstabilan politik dalam negara tentunya akan mengundang keadaan yang lebih tidak terkawal. Oleh itu, wajarkah perebutan tampuk kekuasaan negara melalui proses undi tidak percaya dalam persidangan Dewan Rakyat mampu menjamin sesuatu yang lebih baik kepada rakyat.


Bersediakah Pakatan Rakyat merencanakan satu formula yang lebih baik pada ketika PR ini masih tercari-cari siapakah nakhoda terbaik dalam menerajui negara sebelum Anwar disahkan sebagai ahli parlimen yang melayakan beliau bergelar Perdana Menteri.


Jika permainan ini berjaya bersiapkah parti-parti yang berada dalam Pakatan Rakyat untuk berkompromi berkenaan jawatan dalam kerajaan. Perkara ini walaupun nampak remeh dan boleh diselesaikan secara politik tetapi mampukah situasi itu meredakan keadaan dan menjamin apa yang dikecapi hari ini dalam soal keamanan dan kesejahteraan rakyat tergadai begitu sahaja.


Ataupun permainan ini akan melengkapkan peribahasa Melayu yang berbunyi ‘keluar dari mulut buaya tetapi masuk dalam mulut harimau’ dan tentunya dalam perkara ini rakyat yang akan menjadi mangsa.


Dilema bentuk kerajaan Persekutuan


Pakatan atau Barisan?



KUALA LUMPUR: Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh telah membuktikan bahawa rakyat sememangnya sudah muak dengan Barisan Nasional yang terajui oleh Datuk Seri Abdullah Badawi. Perkara ini turut dikongsi bersama oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed dalam Chedet.com


Mahathir menjelaskan penyokong-penyokong BN telah undi PKR pada pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai isyarat supaya Abdullah akan sedar yang kepimpinannya tidak dikehendaki lagi.


“Calon Barisan Nasional baik tetapi kalau beliau menang maka Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dakwa yang dirinya menang, dakwa yang sokongan kepada BN iaitu pada dirinya sudah kembali, dakwa BN telah dipulih dibawah kepimpinannya,” tulis beliau.


Bagaimanapun Pak Lah seperti biasa sambil menjelaskan bahawa kemenangan Anwar tidak akan menjejaskan kerajaan yang dipimpinnya. Hujah beliau Barisan Nasional hanya memerlukan lapan kerusi sahaja bagi mendapatkan majoriti 2/3 dalam parlimen.


Sementara itu Anwar yang akan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pembangkang, masih yakin bahawa cita-citanya untuk mendiami Putrajaya akan terlaksana.


Dan rakyat negara ini, samaada yang tinggal di Permatang Pauh atau pun tidak tentunya akan menanti janji yang dibuat pada pilihan raya kecil baharu-baharu ini. Seluruh jentera Pakatan Rakyat sudah bermati-matian berusaha untuk menghantar Anwar sebagai Perdana Menteri yang ke-6 Malaysia.


Seorang penganalisis politik yang dihubungi Mingguan Wasilah menjelaskan, walaupun janji-janji Anwar itu ada asasnya tetapi ada beberapa kemungkinan dan halangan yang kelihatan sukar untuk penasihat PKR itu merealisasikan impiannya itu.


Rata-rata rakyat mencongak bagaimanakah Anwar akan mengisi kabinet yang bakal dibentuknya apabila menjadi Perdana Menteri nanti?. Anwar terpaksa menangani tuntutan daripada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat yang seharusnya menjadi keutamaan kepada beliau.


Bagaimana pula dengan ahli-ahli parlimen BN yang dikatakan akan melompat ke dalam PR. Tidak adakah jawatan-jawatan khusus atas ‘pengorbanan tulus’ mereka itu. Lebih membimbangkan perkara ini dikhuatiri akan mendatangkan konflik kepada negara apabila timbul rasa tidak puashati terhadap pembahagian yang tidak sepadan dengan usaha dan kekuatan masing-masing.


Sementara itu, kemelut dalaman melibatkan kepimpinan tertinggi Umno yang semakin kusut menyebabkan ada ‘cadangan nakal’ yang menyimpulkan perkara akan menjadi mudah sekiranya Anwar yang melompat dan mengambilalih kepimpinan utama Umno. Ini kerana rata-rata ahli Umno sekarang sudah hilang keyakinan terhadap barisan pimpinan yang diterajui Pak Lah.


Prestasi Datuk Seri Mohd Najib Razak juga turut dipertikaikan, apabila gagal memimpin jentera BN di Permatang Pauh untuk menumpaskan Anwar. Lebih malang, Najib sebaliknya mengambil kesempatan menjadikan Permatang Pauh sebagai medan sumpah laknat beliau yang terpalit dengan pelbagai isu moral yang menimbulkan tanggapan negatif ramai untuk beliau menerajui Umno pada 2010 nanti. Adakah sumpah yang diungkapkan tempohari akan memakan diri?.


Selain itu, faktor Istana juga perlu diberi perhatian dalam menentukan pentadbiran di negara ini. Kemelut pasca PRU ke – 12 lalu, telah memberikan isyarat yang jelas berkenaan peranan istana. Pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar Perak, tersingkirnya Shahidan Kassim dari pejabat Menteri Besar Perlis dan kecundangnya Idris Jusoh di Terengganu seakan melengkapkan peranan Raja Berpelembagaan dalam menentukan halatuju politik negara.


Biarpun peranan istana menjadi pertikaian sesetengah pihak sebelum ini tetapi keabsahan peranannya adalalah bersandarkan kepada nas undang-undang dan juga inti sejarah kewujudan negara ini.


Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional adalah entiti yang berbeza meskipun terdedah dengan kemungkinan diterajui orang yang sama, kerana mood rakyat semakin jelas menolak jenama yang menggunakan BN.


Manakala ingatan Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam muktamar baharu-baharu ini bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang berpenyakit, jelas meminggirkan BN daripada senarai rakan kongsi Pas dalam menerajui negara.