Monday, October 26, 2009

PERDAMAIAN MCA TIDAK KEKAL LAMA



Perdamaian dua kepala dalam MCA antara Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek tidak akan kekal lama kerana tindakan itu bukan datang dari hati masing-masing, demikian jelas Pengerusi Kelab Penyokong PAS pusat, Hu Pang Chow.

"Perdamaian ini akan bertahan tiga hingga enam bulan sahaja," katanya.

Ditanya sebab perdamaian segera ini berlaku, Hu menjelaskan ini mungkin disebabkan desakan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebelum ini kedua-dua pemimpin parti kaum Cina ini dipanggil berjumpa Najib bagi menyelesaikan masalah setelah Ong Tee Keat ingkar dengan keputusan mesyuarat agung khas parti berkenaan.

Menurut Hu lagi, BN sebenarnya tertekan disaat mereka memperkenalkan slogan 1Malaysia yang bertujuan untuk menyatukan rakyat tetapi apa yang berlaku di dalam MCA mengambarkan cita-cita itu ibarat 'cakap tak serupa bikin'.

"Tetapi apa yang penting keputusan ini adalah bertitik tolak dari ramalan bahawa kesedian BN untuk mengadakan pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Tambahnya lagi, Najib mensasarkan isu MCA ini perlu diselesaikan dalam tempoh 24 bulan supaya tidak mengganggu persiapan BN.

Penyatuan dalam MCA akan memberi gambaran bahawa BN berada dalam keadaan yang kuat dan stabil bagi menyaingi Pakatan Rakyat(PR) sedangkan hakikatnya BN sentiasa berada dalam kemelut yang berpanjangan dan sukar untuk diselesaikan.

Sementara itu, dalam satu forum yang bertemakan pergelutan kuasa MCA, yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Ahli panel yang juga aktivis masyarakat Wong Chin Huat turut melontarkan pandangan.

Menurut Wong Chin Huat, apa yang berlaku kini berbeza daripada pergelutan kuasa MCA sebelum tahun 1990-an, perebutan kuasa dalaman MCA kini gagal mencungkil keghairahan dan menarik penyertaan masyarakat Cina secara umumnya.

"Ini kerana fungsi asas MCA adalah untuk melindungi masyarakat Cina. Seandainya orang Cina bukan lagi species terlindung dalam zoo, maka MCA tidak diperlukan," hujah beliau.

Baginya PRU pada tahun 1990 sebagai titik pertukaran, apabila PM ketika itu, Mahathir Mohamad mengambil pendekatan baru untuk berdialog secara terus kepada masyarakat Cina, setelah BN ditolak dalam PRU kelapan itu. Wawasan 2020 yang diutarakan selepas beberapa bulan sahaja BN tewas di kawasan orang Cina, telah berjaya mengubah persepsi masyarakat Cina terhadapnya.

Pada hematnya lagi, Ong Tee Keat yang merupakan ahli parlimen MCA yang tunggal di KL-Selangor sememangnya merasai bahang perubahan yang membara itu. Maka, tekad untuk menyiasat skandal PKFZ itu dibaca sebagai langkah Ong untuk menonjolkan imej baru atau wira bangsa untuk menyelamatkan MCA.

Namun, keikhlasan Ong untuk membanteras rasuah tetap diragui Wong, yang mempertikaikan mengapa Ong tidak berusaha untuk menyokong ke arah pembentukan sistem yang kukuh untuk membanteras rasuah, misalnya penggubalan Akta Kebebasan Informasi untuk memastikan agar skandal rasuah yang lain juga gagal dirahsiakan?

"Kita tidak memerlukan wira bangsa seandainya usaha banteras rasuah itu disistemkan," kata Wong.

Wong bagaimanapun tidak menganggap bahawa MCA mampu menyelesaikan kemelut ini, kerana pada pendapatnya, jalan keluar MCA adalah meleraikan kawalan Umnoterhadap BN, dan meleraikan kawalan BN terhadap negara.

Pergelutan MCA sekarang gagal memberi jawapan kepada kedua-dua persoalan asas ini, maka Wong menjangka krisis MCA bakal berlanjutan.

No comments: