Friday, November 7, 2008

Politik Sosialisme Islam

Lelaki HITAM di Rumah PUTIH


Perkembangan pilihan raya di negara ‘Uncle Sam’ nun jauh di sana. Dalam diam-diam menarik minat warga politik dan juga rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak pernah ambil pusing berkenaan politik luar.

Semua ini gara-gara sosok tubuh dan wajah pemimpin yang diwar-warkan bakal mengetuai polis dunia pada Januari ini nanti adalah seorang lelaki yang berkulit hitam.

Walaupun Amerika Syarikat yang besar itu selalu berbangga dengan ideologi demokrasinya tetapi terpaksa mengambil masa hampir 200 tahun bagi menobatkan seorang lelaki kulit hitam sebagai ketua negaranya.

Barrack Hussein Obama yang menjadi peneraju ke-44 kuasa tentera ini memiliki latar belakang pendidikan yang menarik dan agak kontroversi. Paling menarik ialah beliau dikaitkan sebagai seorang lelaki yang berketurunan Islam.

Mendapat pendidikan awal di negara Indonesia Obama dikatakan pernah mendapat pendidikan Islam secara formal sewaktu belajar di negara Asean itu. Bagaimanapun dalam satu buku berkenaan dirinya beliau mengaku menjadi pengikut ajaran kristian.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik berpendapat Obama didokong oleh parti yang memerintahnya dilihat lebih demokratik dalam hubungan berkenaan dasar luarnya.

Obama turut berjanji akan mengeluarkan tenteranya dari bumi Iraq secara berperingkat-peringkat. Namun begitu beliau juga kelihatan cukup mengewakan masyarakat dunia apabila memberi jaminan untuk terus kekal menguasai tanah jajahannya iaitu Afganistan.

Sedangkan ini adalah sikap yang menambahkan kebencian orang terhadap Geogre WW Bush dan rakyat Amerika tuntas menolak parti yang bercap kepala gajah itu.

Ramai pengkaji politik menjangkakan bahawa selepas ini Amerika yang diterajui oleh Obama akan kelihatan akan lebih bertolenrasi dengan dunia Islam.

Namun harus diingat, Obama akan dipantau oleh Kongres yang secara sejarah dan kelangsungannya senantiasa dikuasai oleh golongan Yahudi. Di sini Obama perlu menzahirkan kekuatannya kerana selaku Presiden beliau memiliki kuasa Veto yang boleh merealitikan apa sahaja kehendak beliau.

Realitinya rakyat Amerika telah menolak politik perkauman dengan menjadikan Obama sebagai buktinya. Manakala di negara kita rakyat masih lagi bergelut dengan politik sempit perkauman.

Ini adalah kesan daripada dasar pecah dan perintah penjajah yang menyebabkan kaum-kaum di Malaysia masih lagi selesa dengan zon perkauman mereka dan sukar untuk memahami kepentingan dan kehendak kaum-kaum lain.

Bagaimanapun ini tidak menghairankan kerana rakyat Amerika yang pelbagai juga mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari kepompong itu.

Melihat kepada analisis keputusan awal pemilihan Presiden Amerika ini jelas menunjukkan rata-rata mereka yang berumur 30 tahun ke bawah memilih Obama.

Natijahnya kemenangan Obama ini akan menjadi catalyst kepada penduduk dunia untuk menjadi lebih liberal. Kemungkinan besar pola perubahan ini akan memberi kesan yang besar terhadap politik Malaysia dan golongan muda untuk melihat sesuatu yang baru dalam landskap politik negara.

Menjelang Januari 2009 ini, dunia tentunya menanti dengan penuh debar untuk melihat sentuhan Presiden yang ada pertalian darah dengan agama Islam ini.

Adakah Amerika akan mengulangi sejarah Parsi yang suatu masa dahulu adalah kuasa besar yang memusuhi Islam tetapi akhirnya menjadi tonggak kekuatan kepada dunia Islam kini.

Sama-samalah kita doakan..

Tuesday, November 4, 2008

real politik

Politik “tender” Umno - Pas pacu perubahan
Memasuki usia politik sematang Umno, sepatutnya imej demokrasi telah tertanam kukuh sebagai idelogi yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Tetapi ironinya parti yang bertunjangkan roh Melayu itu kini seolah-olah baru sedar tentang demokrasi.

Lebih parah lagi demokrasi terpimpin ala Umno itu kini menemui jalan buntu kerana rata-rata sudah senak disaluti dengan politik wang.

Laksana watak Awang dalam karya Melayu lama, tokoh yang dikira berpengalaman dan veteran dalam Umno mencadangkan agar pemilihan Umno yang bakal berlangsung nanti di buat secara tender sahaja.

Begitulah kroniknya parti Melayu ini, semua ini berlaku disebabkan agenda pemimpinnya telah terbelok daripada perjuangan asal. Barangkali sudah terbiasa dengan perolehan tender tertutup(baca runding terus) sehinggakan soal perjuangan untuk agama(?) dan bangsa(?) juga perlu ditenderkan.

Cadangan ini barangkali memberikan suatu maksud yang sinis tetapi sebenarnya seakan mengesahkan apa yang selama ini berada ditafsiran rakyat jelata yang sudah bosan dengan permainan politik wang Umno ini.

Telahan bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam bahawa Umno sebenarnya lebih banyak memperjuangkan nasib ahli-ahlinya sahaja sehinggakan nasib rakyat jelata terabai adalah sesuatu yang kukuh dan sangat relevan.

Pimpinan Umno seolah-olah yakin bahawa semua rakyat ini adalah semua ahli Umno sehinggakan kebajikan dan kehendak rakyat terbanyak dikesampingkan.

Laluan ini sebenarnya memberi ruang yang luas kepada Pas untuk terus mendominasi agenda dan kehendak rakyat. Peta dan jalannya telah ada di depan mata.

Dengan prestasi dan kelajuan yang ada sekarang merupakan jalan mudah untuk Pas memenangi hati dan aspirasi rakyat. Lupakan soal perselisihan pendapat, patuh kepada Presiden dan juga taat kepada arahan Syura adalah pilihan yang tidak dapat tidak perlu dipegang sebagai penganut gerakan Islam.

Tidak ada sebab yang kukuh untuk menidakkan sejarah dan keberkesanan perjuangan Pas. Lebih 18 tahun di Kelantan dengan segala kekurangan dan himpitan masih utuh bertahan malahan melebarkan pengaruhnya ke negeri-negeri yang lain.

Harus disedari oleh sekelompok ahli dalam Pas barangkali pimpinan mudanya agar tidak terikat dengan satu pendekatan sahaja bagi menguasai negara ini. Tidak dinafikan agenda Pakatan Rakyat terus relevan bagi mengubah selera rakyat negara ini yang semakin muak dengan sikap Umno dan kuncu-kuncunya.

Ilmu politik samaada teori atau praktikalnya telah mengajar satu istilah siasah yang populis bahawa “tidak ada rakan dan lawan yang kekal dalam politik”. Justeru, Pas yang telah matang dalam permainan politik harus menilai situasi dan bukan sekadar mengulangkaji sejarah yang menceritakan kisah patuk-mematuk sahaja.

Mendekati musuh atas agenda dakwah dengan prinsip yang kukuh(dasar Pas) tidak memungkinkan Pas akan khianat terhadap rakan kongsi yang hampir meruntuhkan kuasa Umno selama lebih 50 tahun.

Lebih-lebih lagi agenda itu mendapat mandat dari Muktamar dan dipersetujui Presiden dan mendapat berkat Syura. Jika ada bantahan pun hanya melibatkan mereka yang tidak hadam dengan proses perjalanan perjuangan Pas ataupun lemas dalam kemelut melunaskan perjuangan peribadi.

Jika kehendak peribadi inilah panduannya, golongan ini seharusnya meneliti sejarah perjuangan Allahyarhamah Shamsiah Fakeh yang baru-baru ini kembali mengadap Ilahi. Beliau ternyata seorang yang sangat ‘kejab’ dengan prinsip perjuangan.

Masih menerima tawaran kerajaan Umno untuk kembali menetap di negara ini tetapi masih berpegang pada hakikat bahawa Umno bukanlah satu-satunya watak yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Shamsiah Fakeh.



Jalinan positif Pas dan DAP bentuk negara berkebajikan

Pakatan optimis

Lima bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif INSAP, Fui K. Soong mengemukakan pandangan bahawa Pas adalah pemain utama sebenar dalam kancah politik negara masa kini. Katanya, dalam satu artikel di akhbar The Star “Nasib negara sebenarnya terletak di tangan Pas dan bukannya Ahli Parlimen (BN) Sabah (yang mungkin lompat parti) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)”.
Beliau membayangkan pada ketika itu kemungkinan Pas akan menyertai BN bagi mengukuhkan kerajaan dan dalam masa yang sama mendisiplinkan Umno daripada berterusan tidak senonoh. INSAP atau Institut Analisis Strategik dan Kajian Polisi adalah sebuah badan pemikir MCA.
Hari ini ternyata telahan Soong bahawa Pas adalah ‘the real kingmaker’ dalam politik Malaysia adalah benar. Pas sebagai pemain utama sebenar tanpa sebarang keraguan telah memilih untuk bersama Pakatan Rakyat (Pakatan). Ia kebal dengan pendirian mengukuhkan Pakatan dan menobat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan pemacu kerajaan baru.
Sehingga kini Pas telah berjaya menerajui tiga buah kerajaan negeri disamping terlibat dalam kerjasama membentuk dua kerajaan negeri bersama Pakatan Rakyat. Manakala Umno hanya memerintah enam buah negeri dengan Sarawak masih kekal didominasi oleh Parti Pesaka Bumiputera Sarawak.
Pas ketika ini tanpa ragu mula dilihat dengan wajah yang lebih positif oleh DAP yang selama ini menganggap Pas sebuah parti yang ortodoks dan ekstrim. Hubungan yang lebih intim terjalin sehingga ke peringkat peribadi antara pimpinan apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini tanpa silu berkunjung ke Rusila melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di rumahnya sempena Aidil Fitri baru-baru ini.
Apa yang lebih menarik, segala ‘amaran’ dan syarat seperti ‘majoriti muslim’ yang diberikan Abdul Hadi untuk Pas bersama kerajaan persekutuan yang baru tidak menghalang untuk DAP lebih rapat dengan Pas.
Exco Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam wawancaranya bersama Mingguan Wasilah bersetuju bahawa dengan bersahabat dengan Pas, DAP sudah boleh melihat Islam dengan lebih jelas.
“Alhamdulillah, sebelum ini mereka jauh dengan Pas. Tetapi selepas Pas dilihat lebih terbuka dan DAP pun mula mengambil dasar lebih lembut, maka akhir sekali DAP menerima Pas dan melihat bahawa melalui Pas mereka (boleh) kenal Islam. DAP tidak kenal Islam dengan Umno, mereka kenal Islam dengan Pas.
“Tinggal lagi mereka berani atau tidak berani. Itu berlaku perselisihan dalam DAP. Sesetengah DAP berani untuk menerima sistem Islam. Sesetengahnya tidak. Dalam keadaan berani tidak berani itulah mereka menerima untuk berpakat dengan Pas sekali lagi, selepas mereka gagal dahulu.
“Mereka keluar dari Barisan Alternatif pada tahun 1999 kerana hendak selesaikan (pertikaian) dalaman mereka sendiri dan hari ini di atas kepentingan politik bersama mereka terima balik,” katanya ketika menyentuh hubungan Pas dengan rakan dalam Pakatan.
Menurut Nik Abduh, walaupun Pas tidak menuntut negara Islam dengan Pakatan tetapi parti itu meminta Anwar sebagai bakal Perdana Menteri membuka ruang dakwah seluasnya kepada Pas untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat.
“Kita tidak tuntut Anwar kena buat Islam, tapi kita minta beliau, yang disebut sebagai bakal Perdana Menteri, membuka peluang kepada Pas untuk menyampaikan Islam untuk difahami oleh rakyat Malaysia. Tidak sebagaimana di zaman BN, suara dakwah disekat sebelum ini sehingga orang Islam dan orang bukan Islam tidak boleh faham Islam yang sebenar,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan matlamat Pas tetap negara Islam iaitu sebuah sistem pemerintahan Islam yang tunduk kepada perintah Allah dalam semua urusan.
“Macam Tuan Guru Nik Aziz sebut, kita nak kalau boleh melalui kerajaan Pakatan Rakyat ini, pelaksanaan Islam sepenuhnya dapat dibuat di Kelantan dahulu pun sudah cukup. Bagi peluang kepada Kelantan kerana rakyat Kelantan sudah lama hendakkan sedemikian. Buka ruang sepenuhnya kepada Kelantan jika tidak dapat dibuat seluruh Malaysia,” ujar anak kepada Mursyidul Am Pas itu lagi.
Katanya, sehingga kini belum ada lagi perasaan tidak puas hati terhadap Pas disuarakan oleh rakan-rakannya dalam Pakatan dalam kerjasama yang dibuat di mana-mana tempat.