Monday, September 8, 2008

Seusai bermuktamar.......

Selamat bermuktamar- Perkukuhkan parti





Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung di Perak dari 13 sehingga 17 Ogos ini, ibarat menyaksikan semula sejarah kelahiran parti ini di Bukit Semanggol kira-kira 54 tahun lalu.


Tentunya ada sesuatu yang istimewa pada muktamar kali ini. Kejayaan gemilang Pas dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008. Sepatutnya muktamar kali ini menjadi medan paling selesa bagi Pas memperkukuhkan parti setelah tidak lagi bergelut mempertahankan kuasa sepertimana selepas pilihan raya 2004.


Sokongan dan dokongan dari golongan bukan Islam melalui Kelab Penyokong Pas, perlu diteliti dan dibahaskan secara jujur dan terbuka demi masa depan parti. Pertempuran politik alaf baharu ini sememangnya memerlukan resipi yang memenuhi selera semua dengan syarat tidak mengadai prinsip. Tentunya Islam yang dipegang oleh Pas sudah tersedia penyelesaianya.


Lontaran isu, berkenaan menaikkan taraf Kelab Penyokong Pas ke taraf “Dewan” perlu diberi perhatian yang serius. Elakkan dari perwakilan membahaskan perkara diluar lingkaran massa dan emosional sifatnya.


Barangkali Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, YB. Dr. Mujahid Yusof Rawa telah ada sesuatu yang bernas untuk dikongsi bersama para perwakilan. Diharapkan sedikit ruang yang perlu di ‘adjust’ dalam perlembagaan Pas menemui jalannya.


Dewan Ulama, Muslimah dan Pemuda perlu mengambil tindakan pro-aktif bagi merealitikan hasrat ini. Keterbukaan ketiga-tiga sayap ini dalam menerima perubahan adalah tunjang yang akan memastikan survival Pas pada masa akan datang.


Muktamar kali ini juga akan menyaksikan pertindihan tarikh dengan hari penamaan calon bagi parlimen Permatang Pauh iaitu pada 16 Ogos. Dalam perkara ini pihak pimpinan Pas telah mengeluarkan komitmen yang akan membantu Anwar Ibrahim.


Di sini juga terujinya sikap setia kawan Pas, yang senantiasa hadir disaat sahabat memerlukan bantuan.


Muktamar kali ini, berjalan lancar dan Permatang Pauh menjadi sinar baharu untuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

No comments: