Monday, September 8, 2008

Selamatkah rakyat?

Keluar mulut buaya?


KUALA LUMPUR: Kesudahan episod politik yang melanda negara semakin rumit dan sukar untuk diramalkan. Rata-rata rakyat sekarang ini terbeban dengan masalah ekonomi ekoran kenaikkan harga minyak menanti dengan penuh harapan agar sesiapa sahaja yang memerintah perlu menjalankan satu polisi yang menjamin kesejahteraan rakyat.


Situasi ini jika bersandarkan kepada janji-janji politik, Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan kerana janji-janji untuk menurunkan harga minyak kelihatan dapat menawan hati rakyat. Sedangkan tindakan yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan sangat tidak popular di mata nurani rakyat.


Isunya semua berpunca daripada kenaikan harga minyak yang sangat luarbiasa dalam keadaan ekonomi dan kestabilan politik antarabangsa tidak memungkinkan harga minyak melambung ketahap ini. Lebih ironis lagi kenaikan harga minyak ini seolah-olah hanya tertumpu kepada negara ini sahaja.


Puncanya telah disahkan oleh negara pengeluar minyak terbesar dunia yang bersidang baru-baru ini, dengan menamakan spekulasi Dollar Amerika adalah punca kepada segala masalah ini. Rakyat pula akan menunggu dan menilai apakah Anwar yang didakwa oleh sesetengah pihak mempunyai hubungan yang baik dengan kuasa besar dunia itu boleh menggunakan pengaruhnya untuk menurunkan harga minyak.


Apakah jaminan harga minyak dan ekonomi negara akan pulih jika diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Mampukah kerajaan yang dinaungi oleh Pakatan Rakyat ini membereskan soal kenaikan kenaikan harga minyak ini sedangkan negara pengeluar minyak yang baru bersidang telah menyatakan ketidakupayaan mereka dalam menangani soal kenaikan ini.


Ketidakstabilan politik dalam negara tentunya akan mengundang keadaan yang lebih tidak terkawal. Oleh itu, wajarkah perebutan tampuk kekuasaan negara melalui proses undi tidak percaya dalam persidangan Dewan Rakyat mampu menjamin sesuatu yang lebih baik kepada rakyat.


Bersediakah Pakatan Rakyat merencanakan satu formula yang lebih baik pada ketika PR ini masih tercari-cari siapakah nakhoda terbaik dalam menerajui negara sebelum Anwar disahkan sebagai ahli parlimen yang melayakan beliau bergelar Perdana Menteri.


Jika permainan ini berjaya bersiapkah parti-parti yang berada dalam Pakatan Rakyat untuk berkompromi berkenaan jawatan dalam kerajaan. Perkara ini walaupun nampak remeh dan boleh diselesaikan secara politik tetapi mampukah situasi itu meredakan keadaan dan menjamin apa yang dikecapi hari ini dalam soal keamanan dan kesejahteraan rakyat tergadai begitu sahaja.


Ataupun permainan ini akan melengkapkan peribahasa Melayu yang berbunyi ‘keluar dari mulut buaya tetapi masuk dalam mulut harimau’ dan tentunya dalam perkara ini rakyat yang akan menjadi mangsa.


No comments: