Monday, September 8, 2008

Menanti debaran di permatang......

Permatang Pauh dan Putrajaya

-kebenaran dan kebatilan-


Nun di utara tanahair tempat kelahiran Perdana Menteri ke lima Malaysia Abdullah Badawi suasana begitu hangat. Kunjungan para pendokong parti masing-masing tentunya menambah becak tanah Permatang Pauh tempat tumpahnya darah panglima Parti keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Bagi sesetengah pemerhati politik, pilihan raya kecil ini dianggap sangat penting dan luarbiasa kerana ianya akan menentukan hala tuju negara ini. Anwar dan segerombolan ahli partinya begitu yakin bahawa jalan untuk menduduki Putrajaya semakin hampir.


Bagaimanapun keyakinan pihak kerajaan yang kini bertahta di Putrajaya juga begitu tinggi bahawa apa yang dilaungkan oleh Anwar hanyalah sebahagian dari sesi janji-janji politik Anwar yang semakin tersepit dengan pelbagai tuduhan yang menjejaskan moralnya.


Apalah hikmahnya rakyat Permatang Pauh sepanjang pilihan raya kecil ini terpaksa menadah telinga memperlihatkan betapa rakusnya manusia apabila berpolitik. Kedengaran cerita-cerita dalam kain diucapkan dipentas-pentas ceramah yang turut dihadiri oleh anak-anak kecil. Apakah kesannya kepada anak-anak ini, sama-samalah kita lihatnya sepuluh tahun yang akan datang.


Perkara yang lebih membimbangkan ialah apabila bidang kuasa agama juga turut dijadikan taruhan bagi meraih sokongan. Aksi bersumpah yang mendahului keputusan mahkamah dilihat sebagai plot yang paling sadis. Persoalan kekadang timbul mengapa pihak yang bertanggungjawab seperti Majlis Fatwa Negara hanya membisu dan tidak memberi respon.


Pertelagahan di antara Ulama Pas dan yang Pro kerajaan tentunya mengundang pandangan yang negatif golongan bukan Islam terhadap agama suci ini. Tidak tahulah jika ini turut dilabelkan sebagai tempat untuk meraikan perbezaan pendapat yang dikatakan ada ruang dalam agama.


Jika ini adalah ruangnya, jangan sampai Islam itu diperlecehkan. Biarlah perbincangan dan perbezaan pendapat itu dihujahkan oleh mereka yang layak dan arif sahaja. Jangan amalkan politik matlamat menghalalkan cara. Biarlah kebenaran itu dinikmati bersama dan kebatilan sama-sama dibenteras.


Siapapun yang menang dan menjadi Perdana Menteri biarlah menyenangkan semua pihak. Elakkan sepertimana kata peribahasa Melayu ‘Yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang’. Perjalanan untuk membina negara ini masih jauh.

No comments: