Friday, October 17, 2008

belokkanan....

Politik naik turun!


Berpegang kepada akidah politik Islam yang syumul ternyata memberi kekuatan kepada YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga pengikutnya ketika memiliki majoriti dua kerusi sahaja sewaktu memerintah selepas pilihan raya 2004. Keadaan semakin sukar apabila tewas dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.


Bagaimanapun ketika inilah Tok Guru mempamerkan watak sebenar pemimpin Islam yang memiliki kesabaran yang tinggi serta nilai tarbiyah yang diberikan oleh beliau kepada ahli parti telah menyaksikan tidak ada satu suarapun yang mempertikaikan kepimpinan beliau, jauh sekali mendesak beliau berundur dari jawatan yang disandangnya.


Berbeda dengan Umno kini – Sewaktu memenangi pilihan raya 2004 dengan keputusan luar biasa nama Abdullah Ahmad Badawi dijulang, dibilang sebagai insan yang terbilang. Semua peringkat parti Umno dari yang tertinggi hingga ke akar-umbi semuanya salut kepada beliau.


Dijaja sebagai sebagai pemimpin ulung yang tiada cacat-celanya, manakala Abdullah pula seolah-olah hanyut dengan sokongan yang tiada batasnya. Maka berjanjilah sang ketua dengan harapan segala reformasi yang dijanjikan akan mendapat kerjasama daripada ahli parti untuk dilaksanakan.


Barangkali Perdana Menteri Ke-lima negara ini kurang membuat penyelidikan atau terpengaruh dengan penasihat-penasihat ‘20 persent’ beliau. Menyedari atau tidak bahawa parti yang diwakilinya sebenarnya sudah rosak dengan segala politik wang dan mereka yang sudah hilang roh perjuangan agama dan bangsanya.


Hasilnya keputusan pilihan raya 2008 menyaksikan episod malang buat Abdullah, kehilangan lima negeri benar-benar mengubah persepsi akar –umbi Umno sepertimana dicanang oleh barisan orang kanannya dahulu. Maka saat Abdullah perlu menerima sokongan dan dokongan dari ahlinya –lain pula jadinya.


Segala kelemahan dan punca tewasnya Parti yang rohnya Melayu itu ditudingkan ke atas Presidennya sahaja. Bermacam tuduhan lemah mentadbir, gagal dalam janji, tidak tegas dan segala sifat negatif yang dilaungkan oleh pembangkang sebelum ini kembali didendangkan oleh ahli Umno dengan menggunakan akar-umbi sebagai terasnya.


Anehnya pelopor Islam Hadhari itu juga turut terkesima dengan tindakan luarbiasa makmumnya.

Lantaran itu pelbagai cara dipraktikan bagi menyelamatkan keadaan. Maka bermesyuarat dan berkampunglah parti Melayu terbesar di dunia itu. Hasilnya terciptalah pelan peralihan kuasa yang memutuskan pada 2010 adalah tarikh luput pemerintahan Pak Lah.


Tetapi panas tidak sampai ke petang. Persetujuan yang dibulati oleh Majlis Tertinggi dan Jemaah Menteri kononnya, dikhianati oleh Timbalannya. Seperti lazimnya Najib Razak tidak akan memunculkan diri sebagai watak utama. Tetapi yang kehadapan ialah orang harapan Pak Lah dahulu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin.


Kelantangan Muhyiddin mula menyerlah setelah kembali dari pertemuannya dengan Tun Mahathir, sejak itu Muhyiddin mula berani mencabar ketuanya seterusnya merempuh tradisi demokrasi Umno yang memerlukan ahlinya taat kepada pemimpin.


Kini Pak Lah menghadapi hari-hari sukarnya sebagai Presiden dan Perdana Menteri. Ketika ini akhlak dan ketaatan ahli Umno tidak kira yang di atas atau dibawah sudah menyerlah nilainya. Majlis-majlis yang dihadiri Presiden sudah hilang seri dan pengikutnya. Inipun ketika Pak Lah masih berkuasa- bayangkan jika tiada jawatan nanti.

No comments: