Monday, September 8, 2008

Idea pagi merdeka....

Penjernihan budaya politik sempena 51 tahun merdeka


Bulan Ogos merupakan bulan keramat bagi rakyat negara. Ini kerana setelah lebih 450 tahun dijajah, maruah yang tergadai kembali dimiliki. Seterusnya pimpinan negara dengan kerjasama rakyat tanpa menoleh kebelakang terus berusaha memacu negara ini sepertimana yang dinikmati sekarang.


Biarpun ada pertikaian tentang kerajaan yang memerintah tetapi penghargaan tidak salah diberikan kepada kerajaan sepanjang pemerintahannya yang dipilih secara mutlak oleh rakyat.


Tetapi perbuatan pemerintah yang bertindak menggelapkan sisi sejarah pejuang kemerdekaan yang dilabel sebagai berhaluan kiri seharusnya dikecam sehingga maruah mereka kembali diputihkan.


Angka 50 tahun juga memperlihatkan tentang kebobrokan pemerintah yang diterajui BN sehinggakan rakyat sudah mula menunjukkan protes dan menolak mereka.


Ironinya juga pada Ogos ini telah berlangsung satu pilihan raya yang dianggap paling kotor dalam sejarah negara dan keputusannya sekali lagi menjadikan BN dikuburkan dalam arena politik negara.


Pengunaan media massa dan jentera kerajaan dan juga fitnah dan memperolokkan agama dengan pesta sumpah menyumpah adalah satu perkara yang keluar dari konteks tamadun masyarakat negara ini.


Sampai bilakah perkara ini akan berterusan dan menjadi santapan masyarakat terutama generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan pada masa akan datang.


Menjadi harapan masyarakat seandainya peralihan kuasa yang akan berlaku pasca pilihan raya Permatang Pauh, biarlah ianya menjanjikan sesuatu yang jernih dalam landskap politik negara.


Kerajaan yang dibentuk nanti(sekiranya berlaku) biarlah bertunjang kepada prinsip yang benar dan Islam semestinya ada peraturan dan cara melaksanakannya.


Jika ini berlaku pastinya sambutan kemerdekaan yang mencecah usia 51 tahun ini akan memberikan sesuatu yang lebih bermakna seperti mana generasi pejuang terdahulu yang menerima kemerdekaan ini.


Pasti terlalu banyak hitam yang perlu diputihkan dan bengkok yang perlu diluruskan apabila memerintah nanti. Dan perlu senantiasa diingat mengisi kemerdekaan itu lebih sukar dari melakukan sumpah tidak rasmi.


Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan mengunjungi bulan rahmat Ramadhan al –Mubarak.


No comments: