Monday, September 8, 2008

Dilema bentuk kerajaan Persekutuan


Pakatan atau Barisan?



KUALA LUMPUR: Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh telah membuktikan bahawa rakyat sememangnya sudah muak dengan Barisan Nasional yang terajui oleh Datuk Seri Abdullah Badawi. Perkara ini turut dikongsi bersama oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed dalam Chedet.com


Mahathir menjelaskan penyokong-penyokong BN telah undi PKR pada pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai isyarat supaya Abdullah akan sedar yang kepimpinannya tidak dikehendaki lagi.


“Calon Barisan Nasional baik tetapi kalau beliau menang maka Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dakwa yang dirinya menang, dakwa yang sokongan kepada BN iaitu pada dirinya sudah kembali, dakwa BN telah dipulih dibawah kepimpinannya,” tulis beliau.


Bagaimanapun Pak Lah seperti biasa sambil menjelaskan bahawa kemenangan Anwar tidak akan menjejaskan kerajaan yang dipimpinnya. Hujah beliau Barisan Nasional hanya memerlukan lapan kerusi sahaja bagi mendapatkan majoriti 2/3 dalam parlimen.


Sementara itu Anwar yang akan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pembangkang, masih yakin bahawa cita-citanya untuk mendiami Putrajaya akan terlaksana.


Dan rakyat negara ini, samaada yang tinggal di Permatang Pauh atau pun tidak tentunya akan menanti janji yang dibuat pada pilihan raya kecil baharu-baharu ini. Seluruh jentera Pakatan Rakyat sudah bermati-matian berusaha untuk menghantar Anwar sebagai Perdana Menteri yang ke-6 Malaysia.


Seorang penganalisis politik yang dihubungi Mingguan Wasilah menjelaskan, walaupun janji-janji Anwar itu ada asasnya tetapi ada beberapa kemungkinan dan halangan yang kelihatan sukar untuk penasihat PKR itu merealisasikan impiannya itu.


Rata-rata rakyat mencongak bagaimanakah Anwar akan mengisi kabinet yang bakal dibentuknya apabila menjadi Perdana Menteri nanti?. Anwar terpaksa menangani tuntutan daripada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat yang seharusnya menjadi keutamaan kepada beliau.


Bagaimana pula dengan ahli-ahli parlimen BN yang dikatakan akan melompat ke dalam PR. Tidak adakah jawatan-jawatan khusus atas ‘pengorbanan tulus’ mereka itu. Lebih membimbangkan perkara ini dikhuatiri akan mendatangkan konflik kepada negara apabila timbul rasa tidak puashati terhadap pembahagian yang tidak sepadan dengan usaha dan kekuatan masing-masing.


Sementara itu, kemelut dalaman melibatkan kepimpinan tertinggi Umno yang semakin kusut menyebabkan ada ‘cadangan nakal’ yang menyimpulkan perkara akan menjadi mudah sekiranya Anwar yang melompat dan mengambilalih kepimpinan utama Umno. Ini kerana rata-rata ahli Umno sekarang sudah hilang keyakinan terhadap barisan pimpinan yang diterajui Pak Lah.


Prestasi Datuk Seri Mohd Najib Razak juga turut dipertikaikan, apabila gagal memimpin jentera BN di Permatang Pauh untuk menumpaskan Anwar. Lebih malang, Najib sebaliknya mengambil kesempatan menjadikan Permatang Pauh sebagai medan sumpah laknat beliau yang terpalit dengan pelbagai isu moral yang menimbulkan tanggapan negatif ramai untuk beliau menerajui Umno pada 2010 nanti. Adakah sumpah yang diungkapkan tempohari akan memakan diri?.


Selain itu, faktor Istana juga perlu diberi perhatian dalam menentukan pentadbiran di negara ini. Kemelut pasca PRU ke – 12 lalu, telah memberikan isyarat yang jelas berkenaan peranan istana. Pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar Perak, tersingkirnya Shahidan Kassim dari pejabat Menteri Besar Perlis dan kecundangnya Idris Jusoh di Terengganu seakan melengkapkan peranan Raja Berpelembagaan dalam menentukan halatuju politik negara.


Biarpun peranan istana menjadi pertikaian sesetengah pihak sebelum ini tetapi keabsahan peranannya adalalah bersandarkan kepada nas undang-undang dan juga inti sejarah kewujudan negara ini.


Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional adalah entiti yang berbeza meskipun terdedah dengan kemungkinan diterajui orang yang sama, kerana mood rakyat semakin jelas menolak jenama yang menggunakan BN.


Manakala ingatan Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam muktamar baharu-baharu ini bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang berpenyakit, jelas meminggirkan BN daripada senarai rakan kongsi Pas dalam menerajui negara.

No comments: