Friday, August 8, 2008

Sayap bukan Islam Pas bertaraf “Dewan”


Politik baharu ancam BN



KUALA LUMPUR: Kekuatan Pas dalam kancah politik negara sememangnya teruji. Pernah dilabel sebagai parti politik kampung dan tidak layak memerintah, ekstrem dan sebagainya adalah habuan yang terpaksa ditelan oleh para pejuangnya.


Kesemua perlabelan itu tidak pernah melunturkan prinsip perjuangan Islam yang dibawanya. Bagaimanapun sesuai dengan peredaran masa, Pas yang diwakili hasil gabungan Ulama dan professional tidak mahu tercicir dalam perebutan memperjuangkan dan menjaga hak kepentingan orang bukan Islam.


Malahan menjaga dan menghormati hak bukan Islam adalah tuntutan agama yang menyerlahkan akhlak dan idelogi yang dipegang Pas.


Keluhuran pegangan yang dibawa oleh Pas makin menyerlah apabila mereka melancarkan kempen ‘Pas Untuk Semua” (Pas for All) sebelum pilihan raya yang ke -12 lalu.


Ternyata penubuhan Kelab Penyokong Pas ini memainkan peranan yang sangat penting yang telah menjana percapaian terbaik Pas dalam pilihan raya umum yang lalu. Sejarah tercipta apabila dua kaum yang takut kepada Pas sebelum ini telah memberikan undi mereka kepada parti Islam ini.


Mereka ini tidak malu lagi mengangkat bendera Pas dan duduk bersama-sama ahli parti dalam bilik gerakan bagi membantu calon-calon yang bertanding. Manakala di Johor sejarah telah tercipta apabila ahli kelab penyokong Pas Johor Kumutha a/p Raman, 29, telah memilih Pas sebagai wadah perjuangannya.


Ketika ditanya sedikit masa dahulu oleh Mingguan Wasilah mengapa beliau memilih Pas. Beliau menegaskan kerana tertarik dengan slogan “Pas For All’. Jelasnya lagi dalam perlembagaan Pas tidak menyebut bahawa mereka perlu masuk Islam untuk berjuang dalam parti itu.


Untuk rekod sehingga berita ini ditulis sudah terdapat lebih 1400 orang India Johor yang aktif dalam mengerakkan Kelab Penyokong Pas ini.


Manakala Lee Soon Huey, 79, seorang warga emas berbangsa Cina yang ditemui menjelaskan walaupun beliau bukan Ahli Kelab Penyokong Pas tetapi sudah lebih 20 tahun beliau mengundi Pas dalam pilihan raya.


Bagi beliau yang fasih berbahasa Melayu menjelaskan “ Pas memahami apa yang semua bangsa mahukan dan beliau tidak yakin dengan parti politik yang berasaskan kaum”.


Sementara itu Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, YB Dr. Mujahid Yusof Rawa menjelaskan sudah ada inisiatif dikalangan pucuk pimpinan parti bagi meluaskan skop ahli Kelab Penyokong Pas untuk di angkat menjadi ahli Pas.

Ini berikutan perkembangan positif kelab ini dan pemimpin Pas melihatnya sebagai satu keperluan strategik bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam struktur parti.

"Maknanya mereka boleh menyertai Pas cuma memerlu sedikit pindaan di peringkat perlembagaan iaitu bab keahlian yang mensyaratkan seorang ahli yang menyertai Pas mesti beragama Islam.

"Mungkin perlu 'adjust' di situ untuk membuka ruang ini dan pada masa yang sama Kelab Penyokong Pas akan dipertingkatkan," katanya

Tambah beliau lagi, sekarang perkara tersebut antara cadangan serius dibincangkan untuk menjadikan kelab itu sebagai sayap parti.

Katanya, ia penting untuk dijadikan sayap parti dalam usaha untuk membuka medan baru supaya Pas boleh diterima dan dilihat identitinya sebagai parti pelbagai bangsa.

"Bukan hanya melalui kelab tetapi sebagai keahlian itu sendiri sudah menunjukkan Pas parti berbilang bangsa," katanya.

Menurutnya, perkara tersebut dijangka akan dibincangkan dalam Muktamar Agung Pas yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada pertengahan bulan bulan ini.

Perbincangan di Muktamar ini nanti diharapkan dapat membuka ruang baharu bagi Pas mengembangkan sayapnya. Perwakilan Pas perlu mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan Islam tidak menutup ruang kepada bangsa lain dalam memperjuangkan sesuatu hak dan ketika bangsa ini mula menunjukkan keyakinan terhadap Pas.

Seperti kata Kumutha, “penyertaan saya ini mungkin sesuatu yang luar biasa, tetapi saya percaya ahli-ahli Pas semakin berfikiran terbuka dan rasional” untuk menerima beliau yang memilih Pas sebagai wadah dalam perjuangan masyarakat.

No comments: