Thursday, November 5, 2009

GAGAL SELESAI MASALAH

MCA MUNGKIN TIDAK RELEVEN

Kemelut dalam parti MCA ternyata mengusarkan Barisan Nasional(BN) terutama Umno bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya yang akan datang. Sebab itu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak begitu terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan agar parti itu kembali stabil dengan segera menyelesaikan masalahnya.

Bagi penulis bebas dan juga aktivis masyarakat Ann Wan Seng tindakan Najib Razak ini adalah terdesak dan menunjukkan BN sebenarnya sangat bergantung kepada MCA untuk meraih sokongan daripada masyarakat Cina bagi meneruskan kesinambungan politik mereka.

"MCA sebenarnya perlu kepada satu perubahan yang total dengan memberi peluang kepada ahlinya menentukan siapa yang harus memimpin mereka, mungkin perlu satu lagi mesyuarat agung bagi memberi mandat yang baru untuk memimpin parti itu," katanya.

Menurutnya lagi sekiranya gagal menyelesaikan masalah ini MCA berkemungkinan tidak releven lagi dalam arus politik negara, kerana rakyat akan bosan dengan karenah perebutan dalam politik yang tidak berkesudahan.

Ditanya apakah perubahan yang dilakukan oleh parti-parti dalam BN akan dapat diterima oleh rakyat. Ann Wan Seng yang juga setiausaha kehormat Persatuan Cina Islam Malaysia menjelaskan, terdapat dua kemungkinan.

"Yang pertama sejauh mana seriusnya parti itu untuk berubah dan sejauh mana jujurnya perubahan itu mahu dilakukan," katanya.

Soalnya, apakah perunahan itu kepentingan diri atau untuk orang ramai. Apakah perubahan ini sekadar untuk mengembalikan sokongan rakyat yang telah merosot terhadap BN.

Katanya dalam BN masalah ini bukan MCA sahaja tetapi melibatkan hampir semua parti induk kompenan itu.

Tetapi masalah MCA adalah serius dan sampai kemuncaknya sehinggakan seorang ahli parlimen BN mengesa agar presiden MCA meletakkan jawatan kerana tidak layak memimpin parti itu.

Pada 29 Oktober lalu, ahli parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz secara lantang mendesak Presiden MCA Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.

"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.

"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan perdana menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya.

Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat didahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu... jalan, jangan tunggu... get out you!" katanya.


Khamis minggu lalu, kumpulan 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA menyerahkan tuntutan rasmi supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi mengadakan pemilihan baru parti itu.

Mereka yang membuat tuntutan itu termasuk Naib Presiden Tan Kok Hon, Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.

Tuntutan rasmi itu di diserahkan oleh tiga pemohon yang juga anggota CC - Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Datuk Liew Yuen Keong - kepada petugas pejabat setiausaha agung di ibu pejabat parti di ibunegara.

Mereka mengemukakan tuntutan mengikut Perkara 30.2 perlembagaan MCA. EGM boleh diadakan atas arahan presiden parti, permintaan oleh satu pertiga ahli CC atau permohonan satu pertiga perwakilan pusat.

Menurut perlembagaan parti itu, setiausaha agung MCA, Datuk Wong Foon Meng perlu mengeluarkan notis untuk mengadakan EGM dalam tempoh lima hari.

Kumpulan itu juga menuntut dua resolusi dibincangkan dalam EGM tersebut, iaitu:

1. Usul untuk memilih semula kesemua ahli CC MCA. Jika diluluskan, ahli CC perlu dipilih alam tempoh 30 hari.

2. Usul untuk mengisytiharkan sebagai batal dan tidak sah sebarang perubahan jawatan yang dilakukan oleh presiden MCA selepas 10 Oktober 2009.

Enam belas 16 ahli CC yang menandatangani surat tuntutan tersebut terialah Yeow Chai Thiam, Chor Chee Heung, Hou Kok Chung, Chai Kim Sen, Gan Hong Su, Lee Wei Kiat, Wong Nai Chee, Wee Ka Siong, Yu Chok Tow, Chew Mei Fun, Yoo Wei How, Wee Jeck Seng, Wong Siong Hwee, Liew Yuen Keong, Tan Kok Hong dan Hoh Khai Mun.

No comments: