Wednesday, November 18, 2009

PARLIMEN MALAYSIA PERLU REFORMASI TOTAL

Lima puluh tahun lalu parlimen Malaysia menjadi kebanggaan sebagai satu monumen yang menjadi lambang hidupnya demokrasi di negara ini selepas mendapat kemerdekaan dari penjajah British.

Sehingga kini, lima orang Perdana Menteri sudah mengangkat sumpah dan pelbagai keputusan penting telah dibuat bagi menentukan jatuh bangun negara ini.

Malangnya walaupun memasuki sedekad usia penubuhanya parlimen negara ini masih tidak berubah terutama dalam aspek perjalanan dan fungsinya sebagai tempat menyimpan khazanah yang berharga melainkan pengubahsuaian yang mencecah puluhan juta ringgit itupun masih lagi berlaku ketirisan yang menimbulkan pertikaian.

Adalah menarik untuk direnungi hujah yang dikemukakan oleh ahli parlimen Machang Saifuddin Nusation berkenaan kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki bagi memastikan fungsi parlimen lebih berguna kepada masyarakat.

Apa yang berlaku kini seolah-olah parlimen adalah satu ruang ekselusif yang hanya boleh dijejaki oleh individu tertentu dan rakyat hanya diberi peluang melawat kawasan tanpa dapat menikmati apakah topik perbahasan yang dibincangkan oleh wakil rakyat yang dilantik oleh mereka melalui pilihan raya.

Barangkali Malaysia adalah satu-satunya negara yang masih lagi gagal menyiarkan secara langsung perbahasan wakil rakyat mereka, yang ada hanyalah petikan-petikan berita yang songsang dan memihak kepada pemerintah sahaja mendapat tempat di media massa arus perdana.


KUASA SPEAKER

Apabila perubahan politik pada Mac 2008, pertama kali semenjak memerintah Barisan Nasional(BN) telah hilang majoriti yang selama ini selesa mendominasi sebarang aturan dan keputusan yang berlaku didalam parlimen.

Andaian berpendapat apabila sebahagian parlimen mula memperlihatkan kedudukan pembangkang semakin kukuh maka suara rakyat bertambah kuat dan parlimen akan berubah wajah.

Tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila pertambahan pasukan pembangkang disusuli dengan aturan yang semakin ketat dan peranan speaker yang berat sebelah telah mencacatkan demokrasi itu sendiri.

Menurut ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kita secara terus mengikuti cara berparlimen melalui kaedah yang berlaku dalam demokrasi di Britain.

"Agak mengelirukan apabila BN yang meemerintah mencipta satu sistem parlimen yang hanya memenuhi inspirasi politik mereka sahaja dengan membuang nilai-nilai demokrasi yang diterima oleh masyarakat segajat," katanya.

Hujah anak muda ini ada kebenarannya, bila mana meneliti status parlimen Malaysia yang agak 'pelik' dalam sistem pentadbiranya.

Dalam sistem pentadbiran parlimen Malaysia memperlihatkan sistem pengasingan kuasa yang jelas dimana dalam urusan pentadbiran kuasa speaker dibatasi oleh kuasa lain. Di Malaysia ada Menteri khusus yang menjaga perjalanan parlimen dan juga ada pegawai tadbir yang berkuasa dalam hal ehwal pentadbiran.

Jadikan Parlimen satu badan yang benar-benar bebas dari kuasa eksekutif. Tidak perlu ada Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen. Pentadbiran Parlimen harus diletakkan dibawah satu jawatankuasa bebas yang bertanggungjawab hanya kepada Speaker dan Parlimen. Di Parlimen lain di dunia pihak legislatif memang bebas dan terpisah dari campurtangan eksekutif.

Sepatutnya urusan parlimen ini diserahkan sepenuhnya kepada speaker dan ini sesuai dengan imuniti yang dimiliki oleh parlimen.

Meletakkan kuasa menteri menyaingi peranan speaker hanya menjadikan speaker yang ada hanyalah sebagai boneka, lebih membimbangkan setiap keputusan yang dibuat oleh speaker terpaksa dibayangi oleh kuasa-kuasa lain yang dilihat lebih berpengaruh.

Sudah tiba masanya permainan politik seperti kuasa speaker ini dihentikan dengan memberi kuasa penuh kepada speaker.

Lebih ideal, sekiranya perlantikan speaker bukanlah bertunjangkan kepada ideologi yang menjadi anutan individu terbabit tetapi biarlah ia dinilai bersandarkan kepada kredebiliti seseorang yang mahu dilantik.

Idea ini memang sukar, kerana ia memerlukan pengorbanan dan berjiwa besar untuk merealisasikannya.


SISTEM SOKONGAN YANG LEMAH

Memiliki status Yang Berhormat barangkali begitu dipandang tinggi oleh masyarakat. Mentaliti rakyat yang dididik BN ialah kekayaan dan juga kemewahan. Perkara ini tidak boleh dinafikan kerana kebanyakan ahli Yang Berhormat yang mewakili parti pemerintah akan terus berubah gaya hidup apabila diangkat menjadi YB.

Wang ringgit bukan satu masalah bagi mereka. Melawat kawasan ditaburnya duit, kenduri kahwin duit, ziarah orang sakit duit dan bila pilihan raya duit menjadi semakin mewah.

Ahmad Shabery Chik sekarang Menteri Belia dan Sukan dalam satu ucapan kepada jentera pilihan raya sewaktu tewas mewakili parti Semangat 46 suatu ketika dahulu mengelarkan disaat-saat beliau diambang kemenangan Umno telah datang dengan satu 'pawang'(duit) yang telah mengubah sokongan rakyat kepadanya.

Tidak pasti adakah kemenangan beliau di Kemaman atas tiket Umno kini juga menggunakan khidmat 'pawang' yang memusnahkan cita-citanya sewaktu menjadi pembangkang dahulu.

Bagi ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sistem sokongan bagi ahli parlimen yang ada sekarang adalah tidak eksfisen dan ketinggalan 30 tahun kebelakang.

"Agak melucukan apabila pihak kerajaan berhasrat untuk mewujudkan parlimen yang berkelas dunia tetapi sistem sokongan langsung tidak membantu," ujarnya turut mengesa pihak parlimen menyediakan sekurang-kurangnya seorang penyelidik bagi membantu setiap ahli parlimen.

Perkara ini turut dipersetujui Yusmadi, katanya umum tidak mengetahui bahawa ahli parlimen di Malaysia mendapat gaji antara yang paling rendah di dunia. Realitinya jawatan ahli parlimen adalah jawatan sepenuh masa dan memerlukan komitmen serta pengorbanan dari sudut kewangan.

"Sebagai contoh peruntukkan elaun untuk pemandu Yang Berhormat adalah hanya RM1200 sebulan, mana ada orang nak jadi pemandu sedangkan jadual kerja YB tidak menentu masanya," terangnya yang menambah soal keselesaan seperti ruang pejabat tidak ada untuk ahli parlimen dan ini menyukarkan fungsi dan peranan seseorang itu.

Apa yang dikatakan oleh Yusmadi dilihat ada kebenarannya, kerana dari sudut peruntukkan kewangan juga telah jelas berlaku ketidakadilan apabila hanya ahli parlimen pemerintah sahaja yang diberikan peruntukkan khusus untuk kawasan masing-masing.

Sedangkan pihak pembangkang hanya bergantung kepada gaji yang tidak seberapa. Perkara ini menjadi semakin rumit apabila sikap masyarakat itu sendiri yang sebenarnya telah dikelirukan oleh pemerintah berkenaan fungsi dan tugas sebenar seorang yang diangkat menjadi ahli parlimen.

Pada kefahaman undang-undang seorang ahli parlimen berperanan sebagai pengubal dasar untuk dibahaskan diparlimen. Tetapi hasil didikan BN, ahli parlimen berfungsi sebagai ejen kebajikan yang membantu masyarakat dari sudut kewangan dan sebagainya.

Cara ini dipraktikan bagi memudahkan BN menguasai politik kerana dengan cara ini rakyat akan terhutang budi dengan wakil rakyat kerana itu setiap urusan yang membabitkan dengan pihak kerajaan seperti bantuan kebajikan dan biasiswa pelajaran pemohon mesti mendapatkan tandatangan Yang Berhormat berkenaan dan peluang lebih terbuka sekiranya wakil rakyat itu dari BN.


KUALITI PERBAHASAN

Label parlimen adalah 'sarkas' seringkali muncul melalui komen-komen didalam media baru malahan tanggapan ini sudah mula dibincangkan di kedai-kedai kopi seluruh negara. Label sedemikian seharusnya perlu dihentikan dengan segera demi imej parlimen yang sentiasa dihormati.

Bagaimanapun untuk menghentikan tanggapan ini ia bukan sahaja memerlukan iltizam para wakil rakyat tetapi memerlukan suasana dan sistem yang adil bagi ahli parlimen ini menampakan kualiti seperti yang ditagih oleh rakyat.

Pada hari ini parlimen hanya mengizinkan ahli parlimen berucap lebih kurang 20 minit sahaja. Bagi Nurul Izzah masa yang sedemikian adalah tidak wajar bagi seseorang ahli parlimen terutama apabila perbahasan melibatkan sesuatu usul yang besar seperti bajet dan juga pindaan terhadap sesuatu akta yang melibatkan kepentingan masyarakat umum.

"Apa yang berlaku kini perbahasan hanya dimonopoli oleh menteri yang terbabit sahaja, kadang-kadang ahli parlimen hanya menjadi pemerhati sahaja kerana tidak cukup masa untuk bertanya dengan lebih lanjut berkenaan topik-topik berbahasan," kata Izzah lagi.

Dalam perbahasannya berkenaan bajet baru-baru ini ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengesa satu peruntukan perlu di buat untuk membiaya seorang ahli penyelidik yang merupakan staf peribadi kepada ahli Dewan Rakyat untuk membantu ahli Dewan membuat penyelidikan yang lebih rapi dan mantap.

"Di Indonesia ahli parlimen dapat dua staf peribadi yang dibayar gaji oleh parlimen. Mengapa kita tidak melihat kearah itu," cadang beliau.

Bagi meningkatkan kualiti berbahasan, kerana pada masa ini faktor ketidak cukupan masa disebabkan ahli parlimen yang ramai Fuziah yang juga ahli majlis pimpinan pusat KEADILAN mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas tetap merangkumi pelbagai kepentingan awam mesti di tubuhkan dan dianggotai oleh Ahli Parlimen kedua belah pihak PR dan BN.

"Draf rang undang-undang tidak seharusnya di gubal oleh pejabat Peguam Negara. Ianya harus digubal oleh badan bebas dibawah penyeliaan JK Khas tetap, dan kemudian mengambil kira pula pandangan semua 'stake holder' dalam masyarakat," ucap beliau.

Sekiranya Penambahbaikan Parlimen dalam aspek ini dapat di laksanakan, barulah boleh kita mengatakan bahawa kita Parlimen bertaraf dunia.

Mewujudkan parlimen yang bertaraf dunia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perlaksanaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Yang perlu ada ialah usaha yang sungguh-sungguh, keihklasan semua pihak, sikap profesionalisma, kerjasama yang melangkau batas-batas politik, barulah memungkinkan kita untuk sampai ketahap cemerlang mengisi hasrat yang di utarakan dalam masa kehadapan.



1 comment:

pengikut che det said...

Perkara ini turut dipersetujui Yusmadi, katanya umum tidak mengetahui bahawa ahli parlimen di Malaysia mendapat gaji antara yang paling rendah di dunia. Realitinya jawatan ahli parlimen adalah jawatan sepenuh masa dan memerlukan komitmen serta pengorbanan dari sudut kewangan.

Nak jadi YB kerana rakyat ker atau kerana gaji. kalau nak gaji cari kerja lain la. Kasihan sungguh orang balik pulau, YB berjuang nak bagi gajinya naik.
YB BN pula tak kisahkan gaji kerana ada projek back up. hahaha