Thursday, November 5, 2009

PENSWASTAAN IJN TIDAK WAJAR- NURUL IZZAH

Kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan pendedahan dan desakan yang dibuat oleh ‘bloggers’ dalam cubaan menswastakan Institut Jantung Negara (IJN).

Berikutan tulisan ‘Big Dog’ dalam bigdogdotcom.wordpress.com yang kemudiannya disusuli oleh akhbar arus perdana The Malay Mail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop membuat kenyataan kerajaan tidak akan menswastakan atau menjual IJN sama ada secara keseluruhannya mahupun sebahagian.

Dalam ulasannya kepada Bernama dan Utusan Malaysia, beliau menafikan kerajaan pernah menerima, membincang dan membuat sebarang keputusan mengenai penjualan IJN kepada mana-mana syarikat.

Katanya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) belum memberi sebarang kelulusan bagi penswastaan IJN.

"Tiada apa (kelulusan) telah dihantar kepada kami. Malah, walau sesiapa pun datang menemui kami mengenai perkara itu, tiada apa yang akan diswastakan, tidak secara sebahagian atau secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bertegas penswastaan IJN adalah tidak wajar dan membelakangkan kepentingan rakyat marhaen.

Beliau berkata kerajaan patut lebih telus dalam perkara ini kerana IJN adalah institusi kesihatan yang menjadi milik masyarakat kerana objektif penubuhannya dahulu adalah untuk membantu rakyat.

"IJN adalah lambang kepada tanggungjawab sosial kerajaan terhadap rakyat, ura-ura penswastaan seperti yang dilaporkan didalam blog perlu dielakkan," katanya yang turut berasa lega dengan penafian oleh pihak kerajaan berhubung perkara ini.

Disamping itu, Nurul Izzah turut mengesa agar kerajaan turut memberi tumpuan agar meningkatkan cara bagaimana rakyat yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di IJN dengan mengurangkan masalah dan karenah birokrasi dalam urusannya.

Blogger Big Dog dalam ‘posting’nya pada 20 Oktober lalu mendedahkan lembaga pengarah dan pengurusan IJN telah mendapat kelulusan EPU untuk melaksanakan Skim Pelupusan Harta (WAU) besar-besaran dengan memisahkan operasi dalam IJN dan menubuhkan anak-anak syarikat baru.

Katanya cadangan penubuhan anak-anak syarikat itu telah dibuat syarikat perunding Ernst and Young dalam laporan bertarikh 13 Oktober 2009 yang dipanggil untuk membuat kajian operasi dan limitasi IJN.

Menurut Big Dog anak-anak syarikat yang bakal ditubuhkan IJN itu termasuk IJN Services (satu syarikat kerjasama untuk perkhidmatan sokongan hospital), IJN Assets (mengurus bangunan dan peralatan) dan IJN Pharmacy (perniagaan farmasi).

Tambahnya syarikat perunding Ernst and Young telah dipanggil Ernst and Young untuk membuat kajian operasi dan limitasi untuk tujuan itu.

“Ternyata IJN akan muncul sebagai sebuah entiti perniagaan sepenuhnya dengan setiap anak syarikat mempunyai KPI untuk memperoleh keuntungan,” jelasnya.

Laporan dalam The Malay Mail pula menyebut kertas cadangan mengenainya telah ditolak oleh Kementerian Kesihatan tetapi EPU didakwa telah memanggil pihak terbabit untuk membentangkan kertas cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Oktober ini.

Menurut Big Dog sekiranya perancangan itu berjaya dilaksanakan, tidak mustahil ia akan membawa kepada penyenaraian IJN dalam tawaran awam permulaan (IPO) di pasaran saham berikutan rekod cemerlang IJN sebagai sebuah hospital.

“Dengan itu ia akan menyimpang dari tujuan asal diwujudkan IJN iaitu untuk memberi rakyat Malaysia kemudahan rawatan kesihatan terbaik yang mampu diperolehi semua lapisan masyarakat,” kata Big Dog lagi.

Cubaan ‘penjualan’ IJN ini walaupun telah dinafikan Nor Mohamed Yakcop namun ia adalah kejutan kali kedua kepada rakyat dalam tempoh tidak sampai setahun apabila syarikat konglomerat Sime Darby Bhd. (Sime Darby) telah cuba mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN pada Disember tahun lepas.

Big Dog dalam ‘posting’ selepas pengumuman kerajaan itu berkata ‘masakan pokok bergoyang jika tidak ada monyet yang menggoncang’.

“Soalan saya kepada Menteri dan Lembaga Pengarah IJN adalah kenapa dipanggil pihak Ernst and Young untuk membuat kajian sekiranya tidak ada niat untuk memecahkan entiti IJN. Ternyata kajian oleh Ernst and Young ada objektifnya dan sudah tentu ada motifnya,” katanya.

IJN ditubuhkan 16 tahun lepas semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan sebuah institut jantung khusus untuk rakyat Malaysia. Sehingga hari ini ia telah memberi khidmat kepada 1.5 juta pesakit daripada pelbagai peringkat dan warna kulit. Ia ditadbir sebagai sebuah entiti korporat IJN Holdings Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

1 comment:

goebbels said...

Mahathir dituduh oleh Brain Wain membakar duit 100 billion, disokong oleh Lim Kit Siang the racist DAP.

Dia tubuh IJN guna duit 100 billion tu la. Sejak penubuhannya IJN memang dah swasta tetapi dibayar oleh kerajaan. Menurut Tun Dr Mahatir ia diswastakan supaya ia tidak terikat kepada kerenah birokrasi perkhidmatan awam yang sememangnya menjemukan para doktor dan dgn itu ia boleh membuat peraturan dan menentukan gaji untuk pakarnya sendiri tanpa kelulusan JPA.
Encik Najib, IJN memang dah swasta dari sejak ditubuhkan oleh TDM tetapi ia bukan penswastaan bermotifkan keuntungan.

Ramai orang menkeji TDM kerana membazir wang rakyat dahulu tetapi sekarang ini tanpa malu segan bergambar di Putrajaya, sakit jantung pergi IJN . Pembangkang pula dah lancar manifesto ke Putrajaya untuk PRU13.