Thursday, November 5, 2009

Ketua Pemuda kecewa pemimpin tolak 1BN

GERAKAN TIDAK YAKIN 1MALAYSIA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menerima tamparan apabila kedua-dua sayap parti Gerakan iaitu Pemuda dan Wanitanya mempertikai gagasan1Malaysia dan menempelak pimpinan tertinggi Barisan Nasional(BN) yang gagal memberi respon berhubung idea untuk menjadikan BN sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum.

Berucap di persidangan perwakilan Wanita Gerakan ke-22 baru-baru ini, ketuanya Datuk Tan Lian Hoe mendesak Najib Razak menunjukkan keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan gagasan 1Malaysia melalui pelaksaaan dasar kerajaan berdasarkan kelayakan dan bukannya warna kulit.

"Keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan (hendaklah) berdasarkan qualification (kelayakan) dan bukan 'kulitfication' (warna kulit), amat penting bagi mengerakkan negara supaya lebih maju dan makmur," katanya yang mendapat tepukan perwakilan.

Bagi Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Md Akin apa yang diluahkan oleh ketua wanita Gerakan ini adalah satu krisis keyakinan terhadap seorang perdana menteri yang kononnya berjaya membawa agenda 1Malaysia.

"Tetapi apa yang berlaku kini adalah kekeliruan yang ditimbulkan oleh pucuk pimpinan BN sendiri, jika Najib sibuk dengan slogan untuk perkukuhkan 1Malaysia sebaliknya timbalan beliau Muhyiddin tampak hebat keras dengan hujah untuk pertahankan ketuanan Melayunya," jelasnya.

Ibarat satu kapal dua nakhoda tentunya bukan sahaja ahli Gerakan yang keliru tetapi beliau yakin ramai lagi rakyat Malaysia yang keliru dengan perbezaan hala tuju pemimpin negara ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin berucap dalam nada amaran ketika persidangan perwakilan pemuda parti itu menyifatkan usul dua tahun berturut pihaknya untuk membincangkan pergabungan BN tidak dihiraukan dan diibaratkan bercakap dengan orang pekak.

Amarannya supaya pimpinan tertinggi BN 'jangan melupakan' cadangan penggabungan semua parti komponennya menjadi sebuah parti besar yang mewakili pelbagai kaum.

Mengulas perkara ini, Shamsul menyatakan apa yang dicadangkan oleh Pemuda Gerakan itu adalah sia-sia kerana objektif penubuhan parti-parti yang ada didalam BN itu sememangnya berasaskan kepada sentimen perkauman.

"Adalah lebih baik Lim keluar sahaja dari Gerakan dan menyertai parti yang memiliki aspirasi yang sama dengannya, itu lebih praktikal," sinisnya.

Shamsul menganggap luahan Lim ini adalah satu sindiran yang tajam terhadap tindakan Najib selaku pengerusi BN kerana gagal memberi respon terhadap idea yang dikemukan oleh pemuda Gerakan itu.

"Saya yakin pemimpin tertinggi BN itu tidak ada iltizam pun untuk merealisasikan perkara ini, mereka telah begitu selesa dengan sistem politik yang berteraskan perkauman," ujarnya sambil menegaskan apa yang ada pada BN sekarang hanyalah perhiasan kononnya semua kaum bersatu tetapi hakikanya adalah sebaliknya.

Lim yang juga anak kepada bekas presiden Gerakan Lim Keng Yeik turut mengingatkan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin agar tidak mengambil mudah cadangan ini tetapi perlu mencari jalan untuk menjayakan perkara ini.

BN akan kekal sebagai parti perkauman sehinggalah rakyat menyedarkan mereka melalui pilihan raya, kata Shamsul lagi.

Dalam ucapan itu, Lim turut mengambil kesempatan mengkritik beberapa akta kontroversi, antaranya ISA, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)

Mengimbau kembali demonstrasi besar anti-ISA pada 1 Ogos lalu, Lim berkata, Pemuda Gerakan yang berniat untuk ikut serta sebelumnya "terpaksa memutuskan tali persaudaraan" dengan Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) pada masa itu, atas faktor keselamatan.

"Saya terpaksa memikul beban sehingga ke akhirat jika penyertaan kita di perarakan itu mengakibatkan salah seorang daripada ahli-ahli ataupun penyokong saya dimasukkan ke penjara," katanya.

No comments: