Tuesday, August 5, 2008

Pas tidak lagi tertipu!

Kebimbangan penyokong dan pendokong Pas mengenai perjumpaan di antara Pas dan Umno ternyata menemui berita gembira apabila Majlis Syura yang mengadakan perjumpaan dengan Mursyidul Am Pas di kota Bharu baru-baru ini berjaya merungkaikan segala spekulasi yang dimainkan oleh media massa arus perdana


Setelah berbulan-bulan rakyat dibisikkan bahawa akan ada kerjasama di antara Pas dan Umno, kebimbangan, penafian dan lembaran sejarah mula diselak bagi memastikan adakah kerjasama ini adalah sesuatu yang ideal buat masa ini, sedangkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sedang memacu slogan untuk mentadbir negara ini.


Mujurlah DAP dan PKR tidak melatah dengan isu ini, barangkali mereka sudah tahu akan tipu muslihat Umno yang akan menggunakan apa sahaja cara bagi mengekalkan kuasa mereka.


Salut dan hormat seharusnya di berikan kepada Tuan Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang secara konsisten menolak sebarang kerjasama yang ditawarkan oleh Umno. Ketegasan Nik Aziz ini bersandarkan kepada pengalaman yang dilalui beliau apabila berkerjasama dengan Umno.


Pengumuman Pak Lah bahawa sudah ada tiga pertemuan di antara Pas dan Umno ternyata satu perangkap yang tidak menjadi. Pengumuman itu, yang pada awalnya dilihat mampu menggugat Pakatan Rakyat ternyata disambut dingin oleh khalayak.


Tetapi seperti biasa media arus perdana yang dikuasai oleh Umno, galak menyiarkan bahawa memang ada rundingan yang serius di antara dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.


Maka juak-juak politik yang semakin tersisih dari massa mula menonjolkan diri, lebih-lebih lagi waktu pemilihan parti yang semakin hampir kekemuncaknya.


Permainan politik sekarang tentunya memberi kesedaran kepada pimpinan dan ahli Pas bahawa mereka adalah sebuah parti yang dominan dalam politik negara. Pas sebenarnya masih kurang menyedari kekuatan yang mereka milikki bagi menguruskan politik negara ini.


Barangkali pihak parti ini perlu mengadakan seminar dan perbincangan yang membabitkan tokoh-tokoh dan strategis politik bagi mengenalpasti kekuatan dan cara menggunakannya.


Pengalaman ditipu dan digunakan oleh Umno dan bekas ahli Umno apabila tersepit seharusnya menjadi pengalaman yang berharga. Peringatan Nik Aziz bahawa agar tidak dipatuk untuk kali kedua adalah tonik yang perlu diambil kira oleh juru runding Pas apabila berhadapan dengan Umno biarpun rundingan itu sekadar untuk membincangkan kepentingan Ummah dan Islam.


Yang pasti permainan kali ini dimenangi oleh Pas yang tidak tertipu lagi dengan politik tersepit Umno.

No comments: