Tuesday, November 4, 2008

real politik

Politik “tender” Umno - Pas pacu perubahan
Memasuki usia politik sematang Umno, sepatutnya imej demokrasi telah tertanam kukuh sebagai idelogi yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Tetapi ironinya parti yang bertunjangkan roh Melayu itu kini seolah-olah baru sedar tentang demokrasi.

Lebih parah lagi demokrasi terpimpin ala Umno itu kini menemui jalan buntu kerana rata-rata sudah senak disaluti dengan politik wang.

Laksana watak Awang dalam karya Melayu lama, tokoh yang dikira berpengalaman dan veteran dalam Umno mencadangkan agar pemilihan Umno yang bakal berlangsung nanti di buat secara tender sahaja.

Begitulah kroniknya parti Melayu ini, semua ini berlaku disebabkan agenda pemimpinnya telah terbelok daripada perjuangan asal. Barangkali sudah terbiasa dengan perolehan tender tertutup(baca runding terus) sehinggakan soal perjuangan untuk agama(?) dan bangsa(?) juga perlu ditenderkan.

Cadangan ini barangkali memberikan suatu maksud yang sinis tetapi sebenarnya seakan mengesahkan apa yang selama ini berada ditafsiran rakyat jelata yang sudah bosan dengan permainan politik wang Umno ini.

Telahan bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam bahawa Umno sebenarnya lebih banyak memperjuangkan nasib ahli-ahlinya sahaja sehinggakan nasib rakyat jelata terabai adalah sesuatu yang kukuh dan sangat relevan.

Pimpinan Umno seolah-olah yakin bahawa semua rakyat ini adalah semua ahli Umno sehinggakan kebajikan dan kehendak rakyat terbanyak dikesampingkan.

Laluan ini sebenarnya memberi ruang yang luas kepada Pas untuk terus mendominasi agenda dan kehendak rakyat. Peta dan jalannya telah ada di depan mata.

Dengan prestasi dan kelajuan yang ada sekarang merupakan jalan mudah untuk Pas memenangi hati dan aspirasi rakyat. Lupakan soal perselisihan pendapat, patuh kepada Presiden dan juga taat kepada arahan Syura adalah pilihan yang tidak dapat tidak perlu dipegang sebagai penganut gerakan Islam.

Tidak ada sebab yang kukuh untuk menidakkan sejarah dan keberkesanan perjuangan Pas. Lebih 18 tahun di Kelantan dengan segala kekurangan dan himpitan masih utuh bertahan malahan melebarkan pengaruhnya ke negeri-negeri yang lain.

Harus disedari oleh sekelompok ahli dalam Pas barangkali pimpinan mudanya agar tidak terikat dengan satu pendekatan sahaja bagi menguasai negara ini. Tidak dinafikan agenda Pakatan Rakyat terus relevan bagi mengubah selera rakyat negara ini yang semakin muak dengan sikap Umno dan kuncu-kuncunya.

Ilmu politik samaada teori atau praktikalnya telah mengajar satu istilah siasah yang populis bahawa “tidak ada rakan dan lawan yang kekal dalam politik”. Justeru, Pas yang telah matang dalam permainan politik harus menilai situasi dan bukan sekadar mengulangkaji sejarah yang menceritakan kisah patuk-mematuk sahaja.

Mendekati musuh atas agenda dakwah dengan prinsip yang kukuh(dasar Pas) tidak memungkinkan Pas akan khianat terhadap rakan kongsi yang hampir meruntuhkan kuasa Umno selama lebih 50 tahun.

Lebih-lebih lagi agenda itu mendapat mandat dari Muktamar dan dipersetujui Presiden dan mendapat berkat Syura. Jika ada bantahan pun hanya melibatkan mereka yang tidak hadam dengan proses perjalanan perjuangan Pas ataupun lemas dalam kemelut melunaskan perjuangan peribadi.

Jika kehendak peribadi inilah panduannya, golongan ini seharusnya meneliti sejarah perjuangan Allahyarhamah Shamsiah Fakeh yang baru-baru ini kembali mengadap Ilahi. Beliau ternyata seorang yang sangat ‘kejab’ dengan prinsip perjuangan.

Masih menerima tawaran kerajaan Umno untuk kembali menetap di negara ini tetapi masih berpegang pada hakikat bahawa Umno bukanlah satu-satunya watak yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Shamsiah Fakeh.



1 comment:

Anonymous said...

Keteguhan pendirian yang dimiliki oleh allahyarhamah Shamsiah tidak sekali sekali akan mampu digapai oleh mereka yang menghuni Umno hari ini