Tuesday, November 4, 2008

Jalinan positif Pas dan DAP bentuk negara berkebajikan

Pakatan optimis

Lima bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif INSAP, Fui K. Soong mengemukakan pandangan bahawa Pas adalah pemain utama sebenar dalam kancah politik negara masa kini. Katanya, dalam satu artikel di akhbar The Star “Nasib negara sebenarnya terletak di tangan Pas dan bukannya Ahli Parlimen (BN) Sabah (yang mungkin lompat parti) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)”.
Beliau membayangkan pada ketika itu kemungkinan Pas akan menyertai BN bagi mengukuhkan kerajaan dan dalam masa yang sama mendisiplinkan Umno daripada berterusan tidak senonoh. INSAP atau Institut Analisis Strategik dan Kajian Polisi adalah sebuah badan pemikir MCA.
Hari ini ternyata telahan Soong bahawa Pas adalah ‘the real kingmaker’ dalam politik Malaysia adalah benar. Pas sebagai pemain utama sebenar tanpa sebarang keraguan telah memilih untuk bersama Pakatan Rakyat (Pakatan). Ia kebal dengan pendirian mengukuhkan Pakatan dan menobat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan pemacu kerajaan baru.
Sehingga kini Pas telah berjaya menerajui tiga buah kerajaan negeri disamping terlibat dalam kerjasama membentuk dua kerajaan negeri bersama Pakatan Rakyat. Manakala Umno hanya memerintah enam buah negeri dengan Sarawak masih kekal didominasi oleh Parti Pesaka Bumiputera Sarawak.
Pas ketika ini tanpa ragu mula dilihat dengan wajah yang lebih positif oleh DAP yang selama ini menganggap Pas sebuah parti yang ortodoks dan ekstrim. Hubungan yang lebih intim terjalin sehingga ke peringkat peribadi antara pimpinan apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini tanpa silu berkunjung ke Rusila melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di rumahnya sempena Aidil Fitri baru-baru ini.
Apa yang lebih menarik, segala ‘amaran’ dan syarat seperti ‘majoriti muslim’ yang diberikan Abdul Hadi untuk Pas bersama kerajaan persekutuan yang baru tidak menghalang untuk DAP lebih rapat dengan Pas.
Exco Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam wawancaranya bersama Mingguan Wasilah bersetuju bahawa dengan bersahabat dengan Pas, DAP sudah boleh melihat Islam dengan lebih jelas.
“Alhamdulillah, sebelum ini mereka jauh dengan Pas. Tetapi selepas Pas dilihat lebih terbuka dan DAP pun mula mengambil dasar lebih lembut, maka akhir sekali DAP menerima Pas dan melihat bahawa melalui Pas mereka (boleh) kenal Islam. DAP tidak kenal Islam dengan Umno, mereka kenal Islam dengan Pas.
“Tinggal lagi mereka berani atau tidak berani. Itu berlaku perselisihan dalam DAP. Sesetengah DAP berani untuk menerima sistem Islam. Sesetengahnya tidak. Dalam keadaan berani tidak berani itulah mereka menerima untuk berpakat dengan Pas sekali lagi, selepas mereka gagal dahulu.
“Mereka keluar dari Barisan Alternatif pada tahun 1999 kerana hendak selesaikan (pertikaian) dalaman mereka sendiri dan hari ini di atas kepentingan politik bersama mereka terima balik,” katanya ketika menyentuh hubungan Pas dengan rakan dalam Pakatan.
Menurut Nik Abduh, walaupun Pas tidak menuntut negara Islam dengan Pakatan tetapi parti itu meminta Anwar sebagai bakal Perdana Menteri membuka ruang dakwah seluasnya kepada Pas untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat.
“Kita tidak tuntut Anwar kena buat Islam, tapi kita minta beliau, yang disebut sebagai bakal Perdana Menteri, membuka peluang kepada Pas untuk menyampaikan Islam untuk difahami oleh rakyat Malaysia. Tidak sebagaimana di zaman BN, suara dakwah disekat sebelum ini sehingga orang Islam dan orang bukan Islam tidak boleh faham Islam yang sebenar,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan matlamat Pas tetap negara Islam iaitu sebuah sistem pemerintahan Islam yang tunduk kepada perintah Allah dalam semua urusan.
“Macam Tuan Guru Nik Aziz sebut, kita nak kalau boleh melalui kerajaan Pakatan Rakyat ini, pelaksanaan Islam sepenuhnya dapat dibuat di Kelantan dahulu pun sudah cukup. Bagi peluang kepada Kelantan kerana rakyat Kelantan sudah lama hendakkan sedemikian. Buka ruang sepenuhnya kepada Kelantan jika tidak dapat dibuat seluruh Malaysia,” ujar anak kepada Mursyidul Am Pas itu lagi.
Katanya, sehingga kini belum ada lagi perasaan tidak puas hati terhadap Pas disuarakan oleh rakan-rakannya dalam Pakatan dalam kerjasama yang dibuat di mana-mana tempat.

No comments: