Tanggal 11 julai yang lalu adalah episod paling sedih dalam hidup aku. 33 tahun hidup dalam dakapan Bonda yang tidak pernah jemu mendidik dan bersabar dengan watak aku sebagai seorang anak lelaki tunggal dalam keluarga.
Pemergian Bonda mengadap pencipta yang agung, terasa sungguh terkesan dan membuatkan jiwa dan dunia ini terasa kosong.
Setiap langkah terasa longlai, aliran darah rasa tersekat, segala yang bergerak terasa kaku.
Luluh jiwa- wajah yang sabar mendidik anak istimewa sering kali melintas tatkala jiwa meruntun menyedekahkan ayat-ayat Allah kepada rohnya.
Menatap wajah adik-adik, kakak dan Ayahanda seakan memberitahu bahawa aku perlu tabah, biar mereka dapat menharungi saat sukar sebegini.
Berkocak hati dan emosi santun menyerang berkatkah perjalanan hidup ini dengan tiada lagi DOA IBU.
Saat-saat sukar begini, sejarah dan perjalanan hidup Rasullulah menjadi penawar yang paling pesona hinggap dipangkal jiwa. Bagaimana cinta dan sayangnya Baginda terhadap Khatijah yang berkorban segalanya tetapi apabila sampai janji Allah, Khatijah pergi jua bertemu Ilahi tanpa mengecapi kejayaan dakwah Baginda.
Begitulah janji Allah, tidak memilih siapa yang mahu diuji-NYA. Tetapi janjinya tetap pasti 'Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan dengan kemampuan yang ada pada dirinya'.
Kepada mereka yang masih mempunyai Ibu, sayangi dan peluk-cium ibu anda sementara Allah masih meminjamkan kepada kita. Jagalah hatinya, sempurnalah segala keinginannya biarpun sepahit jadam sekalipun untuk kita menelannya.
Kepada sahabat yang berpeluang menjengah blog ini, mohon sedekahkan Al-fatihah dan yasin buat Bonda saya yang tercinta semoga rohnya dicucuri rahmat-NYA.
Isya- Allah saya dan adik beradik akan mengusahakan upah haji kepada arwah yang sepatutnya menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Semoga Allah memudahkan perjalanan Rohnya menemui pencipta yang abadi.
Bila CINTA telah pergi hati adalah tempat yang paling sunyi......